Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Senin, 27 Oktober 2008

Atur strategi perangi dakyah
Nicholas Slyvester @ Muhammad Abdullah.

Perseteruan Yahudi dan Nasrani terhadap Islam telah dimateri dalam al-Quran melalui firman Allah; Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)...(al-Baqarah: 120)
Ekoran itu, mereka melakukan pelbagai usaha memburukkan Islam. Terbaru, Ahli Parlimen berhaluan kanan Belanda, Geert Wilders mengeluarkan filem menghina al-Quran yang berjudul Fitna.
Tersebarnya berita ini menyebabkan umat Islam di merata tempat memberi reaksi keras termasuk penunjuk perasaan membakar bendera Belanda di Afghanistan.
Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, NASIRUDDIN YAZID menemu bual Pengerusi Pusat Sokongan Saudara Baru, Hidayah Centre, Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia, Nicholas Slyvester @ Muhammad Abdullah bagi mengupas sikap seteru golongan kuffar terhadap Islam.
Penerbitan terbaru filem Fitna itu membuktikan yang perseteruan Yahudi dan Nasrani kepada Islam tidak pernah padam.
MEGA: Apakah respons yang perlu dilakukan oleh umat Islam dalam hal ini (filem Fitna)?
MUHAMMAD: Perseteruan golongan kuffar dengan Islam memang telah dijangka sebagaimana dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya di atas. Cuma dalam memberi respons, kini umat Islam makin matang dan tidak lagi hanya sekadar membakar bendera atau berdemonstrasi.
Persoalannya, adakah kita hanya memberi reaksi sama ada secara emosi atau intelektual. Kerana sudah sampai masanya kita umat Islam lebih proaktif melakar strategi yang lebih besar.
Kita perlu memikirkan bagaimana boleh mengubah fenomena bukan Islam yang sangat konfrontasi ini sehinggakan apabila ada peluang sahaja mereka mahu hentam Islam.
Tahun lalu, umat Islam bangkit membantah apabila karikatur Nabi Muhammad disiarkan oleh akhbar Denmark. Adakah ini juga disebabkan kurangnya dakwah kita kepada bukan Muslim di peringkat antarabangsa?
MUHAMMAD: Memang betul antara sebab berlakunya keadaan ini ialah kurangnya dakwah kita kepada bukan Islam di peringkat global. Kita masih belum berdakwah mengikut kadar yang sepatutnya.
Walaupun ada usaha-usaha berdakwah kepada bukan Islam menerusi televisyen seperti Bridges TV di Amerika Syarikat (AS) dan Peace TV di Mumbai dan Sheikh Harun Yahya di Turki tetapi ia belum dapat mencapai ke sasaran sebenar.
Antara lain ia disebabkan oleh salah faham yang masih berleluasa di negara Barat terutamanya sehinggakan mereka ini tidak faham apa itu Islam.
Bridges TV ialah rangkaian televisyen 24 jam untuk 8 juta penduduk Muslim di AS. Program dalam bahasa Inggeris ini diwujudkan bagi tujuan dialog antara negara Barat dan Timur. Ia adalah program bercorak gaya hidup serta yang berkaitan dengan kekeluargaan.
Peace TV pula disiarkan dalam bahasa Inggeris dan Urdu. Program-programnya menyiarkan tokoh penceramah dan ulama terkenal seperti Dr. Zakir Naik, Dr. Israr Ahmed, Maulana Parekh dan Abdur Rahim Green.
Sheikh Harun pula giat menjalankan dakwah melalui penerbitan video cakera padat (VCD) dan juga melalui Internet.
Apabila umat Islam membantah dan bertindak balas terhadap penghinaan sedemikian, kita sering dikaitkan dengan aktiviti keganasan. Sampai bilakah kita akan terus berhadapan dengan sikap double-standard Barat ini?
MUHAMMAD: Kalau kita merujuk sirah, junjungan besar kita Rasulullah s.a.w pun turut dihina, dipukul dan ditohmah dalam gerakan dakwah baginda. Namun, semua itu tidak melemahkan baginda dalam berdakwah baik kepada yang Islam mahu pun puak kafir Quraisy.
Segala usaha dan perbuatan menekan Islam ini adalah sunnatullah. Sebaliknya semakin ditekan semakin ramai yang memeluk Islam. Inilah yang berlaku di AS selepas tragedi 11 September 2001.
Itulah yang berlaku di mana dilaporkan lebih 50,000 penduduk AS yang memeluk Islam. Malah, insiden itu turut membawa kepada pengislaman beberapa tenteranya di Teluk.
Cuma kekuatan kesatuan kita sebagai Muslim itu masih belum nampak. Walaupun kita mempunyai Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) tetapi ia lebih gah pada nama. Hakikatnya, belum nampak kekuatan atau pengaruh ke tahap yang sepatutnya.
Perjalanan kita masih jauh. Kita perlu melakukan banyak lagi usaha jika mahu melihat orang berbondong-bondong memeluk Islam sebagai mana firman Allah: Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai Mekah), dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai... (an-Nasr: 1 & 2)
Bagi mencapai matlamat itu, kita mahu orang melihat bahawa Islam ini membawa rahmat ke seluruh alam berdasarkan kekuatan yang ada pada kita.
Selain memang sikap kuffar yang enggan terima kebenaran agama Islam, hal-hal begini berlaku disebabkan kurang faham mereka terhadap Islam. Adakah ini disebabkan dialog-dialog agama dengan mereka tidak lagi diadakan sebagaimana ketika hayat Allahyarham Ahmad Deedat?
MUHAMMAD: Ada juga kebenaran dakwaan itu. Pada zaman Allahyarham Ahmad Deedat banyak dialog antara Islam dan Kristian tetapi ia masih belum mencakupi seluruh dunia.
Cuma, strategi Allahyarham yang patut dipuji ialah memvideokan dialog tersebut dan mengedarkannya kepada media. Jadi ia dapat disebarluaskan dengan lebih cepat.
Sekarang, usaha-usaha itu ada tetapi belum ada sinergi yang boleh mencapai tahap dakwah global. Baru-baru ini pernah diusahakan di India dan ia mendapat sambutan baik apabila dihadiri lebih 20,000 orang.
Faktor ialah ialah kita kekurangan media yang berpengaruh untuk menyebarkan dakwah begini. Yang ada setakat ini ialah di luar negara seperti yang disebutkan di atas tadi. Di negara kita, program yang ada seperti Akademi al-Quran lebih kepada dakwah kepada orang Islam. Bukannya dakwah kepada bukan Islam.
Seharusnya kita tidak mengabaikan hal ini dalam kita memberi tumpuan dakwah kepada umat Islam yang juga dilanda pelbagai masalah terutama sosial.
Di Malaysia, suasana harmoni yang ada perlu diperkuatkan kerana ia masih di peringkat surface iaitu atas dasar toleransi, bukannya perpaduan sebenar. Kalau di bawah perpaduan sebenar baru kita betul-betul ada sikap hormat-menghormati dan saling faham memahami. Tetapi kita masih bimbang berlaku tragedi 13 Mei 1969.
Malaysia diiktiraf sebagai negara Islam contoh termasuk dalam Multaqa al-Azhar baru-baru ini. Apakah peranan yang perlu diperkasakan lagi oleh negara terutama dalam strategi dakwahnya?
MUHAMMAD: Saya berpendapat, kita perlu bersyukur dengan pengiktirafan itu. Namun, ini bukannya masa untuk mendabik dada. Memang kita ada pencapaian yang boleh dibanggakan tetapi jangan kita dilalaikan oleh perkara itu.
Dalam kitaran dunia, Islam kini berada di bawah dan kita sedang cuba naik tetapi banyak halangan.
Contohnya, ketenteraan kita dalam OIC masih lemah begitu juga pengaruh politik negara-negara Islam masih lemah.
Isu umat Islam dan penindasan yang berlaku di selatan Filipina, selatan Thailand dan Kashmir belum ada penyelesaian sebenar.
Kita perlu menguatkan lagi usaha dakwah supaya boleh membantu kembangkan Islam di negara ASEAN seperti Singapura, Filipina dan Indonesia serta negara kurang maju seperti Kemboja dan Myanmar.
Dari segi role model, janganlah sebab perbezaan politik, kita tidak boleh bersatu. Ingatlah pesan Ibnu Khaldun tentang politik Islam, “tegakkan agama dan perintah dunia dengan agama Allah”.
Janganlah kita dipengaruhi dakyah musuh-musuh Islam yang memang doktrin mereka menjauhkan kita daripada agama.
Inilah yang dijaja oleh pemimpin licik Kristian, Samuel Marinus Zwemer apabila berkata, “biar orang Islam fikir orang Kristian itu bukan musuh, asalkan kita boleh jauhkan mereka daripada agama”. - Utusan Malaysia


Tidak ada komentar:

Posting Komentar

'SUDAHKAH ANDA SOLAT '

Kepentingan Menjaga Solat Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”

Riwayat at-Tirmidzi