Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Sabtu, 01 November 2008




" Daerah semporna kaya dengan alam semula jadi. Bagi pencinta alam segala terumbu karang yang ada dalam lautan membiru mereka terokai untuk mendapatkan kepuasan. Namun bagi yang datang ke tempat ini sebagai peniaga, di sini bukan tempatnya mereka menjadi kaya-raya. Orang-orang berjiwa sufi mungkin sesuai berada di sini kerana, hati mereka akan terhibur dengan bicara alam yang senantiasa berbisik ke cuping telinga berbicara tentang kebesaran Allah. Tempat ini adalah antara kawasan yang sering kami kunjungi untuk program dakwah"


ARKIB : 30/10/2008 ( Utusan Malaysia )

Memahami kejadian alam

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS

ILMU daripada Allah terkandung berjuta hikmah. Penerokaan ilmu yang tidak terbatas melalui akal yang terbatas menuntut keyakinan besar kepada kebesaran Allah. Contohnya, sesuatu yang tidak diketahui atau terfikir oleh akal tidak semestinya bermakna ia juga tidak ada.

Sehubungan itu, keyakinan manusia bahawa Allah itu Maha Perkasa telah mampu memberikan asas iman yang kukuh dalam diri manusia.

Segala usaha manusia untuk mengetahui kebesaran Allah melalui alat tidaklah salah kerana al-Quran telah memberikan asas yang boleh menjadi pedoman untuk manusia. Manakala, penerokaan mengenai langit alam seperti langit dan bumi hanya boleh dilakukan melalui alat atau teknologi.

Surah al-Alaq memberikan asas ilmu, sains dan teknologi yang amat nyata kepada umat Islam. Ayat ke 3-5 memberikan pedoman mengenai pentingnya ‘kalam’ iaitu alat atau teknologi yang merintis penerokaan ilmu. Ia merupakan alat dan teknologi bagi mengetahui sedikit mengenai rahsia kebesaran Allah. Kebesaran Allah terlihat pada daya cipta-Nya terhadap alam ini.

Memahami Keterbatasan Manusia

Al-Quran telah menjelaskan bahwa alam ini telah ditundukkan Allah untuk keperluan manusia, agar manusia beribadat kepada Allah secara lebih sempurna: Allah-lah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu pelbagai buah-buahan menjadi rezeki untukmu; dan Dia telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu, berlayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu sungai-sungai. (Surah Ibrahim:32)

Penerokaan terhadap alam bumi dan alam angkasa lepas memberikan manusia ilmu dan maklumat. Daripada ilmu dan maklumat menjadikan manusia lebih rasional memahami makna alam dan kejadian. Inilah asas 'ulul albab' yang terdapat di dalam al-Quran dan pendekatan tadabbur yang mendorong manusia mengkaji, berfikir, menyelidik dan akhirnya mendidik mereka menjadi orang-orang yang bertakwa. Surah Ali Imran ayat 190 misalnya menyebutkan bahawa hikmah kejadian penciptaan langit dan bumi serta putaran siang dan malam terhadap orang-orang yang berakal dan berfikir.

Allah juga memberikan asas pedoman kepada manusia supaya sentiasa mengkaji dan berfikir tentang kejadian alam. Namun begitu, seringkali al-Quran mengingatkan manusia bahawa manusia adalah bahagian kecil dari alam yang sangat luas ini dan manusia perlu selalu melihat dan mengamati alam tersebut untuk mengetahui rahsia-rahsia yang tersimpan di dalamnya.

Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Al Mukmin : 57)

Alam ini terlalu luas untuk dikaji dan keupayaan manusia mengkaji alam amatlah terbatas. Keterbatasan itu memadai untuk manusia memahami makna hidup dan kehidupan.

Kehidupan akan lebih bermakna sekiranya pedoman agama dijadikan landasan. Sekiranya manusia memberi fokus kepada aspek fizik semata-mata maka manusia akan hanya terdorong untuk mengkaji fenomena dan bukan hikmah fenomena tersebut.

Justeru penerokaan sains dan penghasilan teknologi tidak saja memberi manfaat kepada manusia tetapi melahirkan kebimbangan terhadap nasib manusia.

Hubungan antara manusia dengan alam sentiasa berubah, seiring perkembangan teknologi, informasi, dan industrialisasi. Perang Dunia Pertama dan Kedua memperlihatkan bagaimana bumi dan manusia dirosakkan oleh keserakahan kuasa-kuasa yang menguasai teknologi terhadap kuasa yang belum menguasai teknologi.

Manusia kadangkala telah kehilangan kearifan pada alam dan lingkungannya. Dengan makin berkembangnya ilmu pengetahuan dan teknologi, perlu kita akui secara jujur bahwa atas nama "penalaran dan logik", secara sedar atau tidak, kita telah mengikis budaya warisan luhur dalam memahami alam dan lingkungannya. Teknologi digunakan untuk menakluk dan merosakkan alam. Manusia tidak lagi bergantung pada alam, namun malahan menguasai alam dengan dilandasi keserakahan.

Sekarang ini kuasa besar menggunakan justifikasi yang menolak peradaban manusia lalu menggunakan teknologi persenjataan yang canggih untuk menghancurkan sesebuah negara atau sekelompok manusia yang dibenci supaya melutut kepadanya. Keadaan ini membuktikan bagaimana nilai-nilai kemanusiaan dan etika sudah tidak lagi jadi pertimbangan.

Oleh itu, amat penting bagi seorang remaja untuk memahami bahawa tugas manusia sebagai khalifah di muka bumi ini mempunyai had dan batasnya tersendiri. Kejadian alam yang sempurna yang telah diciptakan untuk manusia dan isinya ini adalah untuk dinikmati secara adil dan saksama agar manusia sentiasa menjadi orang-orang yang bersyukur.

Dalam surah Ibrahim ayat 34, Allah menjelaskan tentang golongan yang telah diberikan nikmat dan kemudiannya tidak bersyukur atas pemberian Tuhan: Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).

Justeru, sebagai remaja Islam, kita seharusnya berusaha untuk meningkatkan ilmu dan membangunkan potensi diri seiring dengan syariat Islam.

Membangunkan keupayaan fizikal semata-mata tanpa diiringi dengan kesedaran tentang tanggungjawab terhadap diri sendiri dan umat menjadikan manusia bersikap individualistik dan boleh diibaratkan sebagai pohon yang rendang tetapi beracun dan berbahaya untuk dimakan.

Kesimpulan

Kesempurnaan kejadian alam ini seharusnya menjadi titik tolak kepada kebenaran. Ilmu di dunia pada pandangannya hanya ilmu pada tahap awal. Sesuatu yang hanya sedikit, yang didapati dalam upaya pengembaraan yang terbatas menyebabkan jawapan terhadap alam dan hakikat kejadian juga terbatas.

Di sinilah perlunya keimanan kepada yang Maha Pencipta kerana darinya yang Maha Mengetahui dan mengaturkan alam yang tidak terbatas ini. Keyakinan tentang adanya Pencipta dan Pengatur alam ini menjadikan manusia terpedoman dalam memahami hidup dan kehidupan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

'SUDAHKAH ANDA SOLAT '

Kepentingan Menjaga Solat Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”

Riwayat at-Tirmidzi