Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Jumat, 17 Oktober 2008

PERJALANAN MUJAHID

" Ustaz Hj.Abdul Halim Abas ( gambar atas ). Saya mendapat didikan secara langsung dari beliau sepanjang program dakwah di Sabah "


" Ustaz Hj. Abdul Halim Abas, pendakwah bebas juga pengarang buku Bagaimana Menjadi Wali. 2/3 dunia Islam telah beliau jelajahi dalam rangka dakwah sejak berusia 18 tahun. Turut menumpukan dakwah di Sabah hingga kini termasuklah Rosnani Untol, Ust. Abdul Razak Bakar, Ust. Yusuf Din, Dr.Ismail dan Ust. Ridhwan Baharun ( sekadar menyebut nama )

Perjalanan perjuangan yang telah menempuh pelbagai halangan dan rintangan memberi banyak pengalaman berharga. Kadang-kadang, kita hadapi kebuntuan yang kita rasa tidak mungkin dapat diatasi lagi, tapi entah dari mana datangnya pertolongan sehingga kebuntuan itu bukan sahaja dapat diatasi, bahkan sangat berharga sehingga keuntungan dapat dikaut. Untungnya pada pengalaman selain banyak lagi hasil yang tidak terduga. Inilah realiti dunia perjuangan. Hal-hal yang tidak masuk akal, bila-bila sahaja boleh berlaku. Perkara yang dirancang kekadang gagal. Apa yang tidak tergambar oleh akal pula biasa dialami tidak kira pahit atau manis. Dunia orang berjuang sangat berbeza dengan dunia orang yang tidak berjuang. Keputusan orang berjuang juga sangat berlainan dengan keputusan orang yang tidak berjuang. Para pejuang sanggup menanggung risiko. Manakala orang yang tidak berjuang hanya suka mendengar cerita kisah-kisah perjuangan. Ada orang yang bukan pejuang tetapi lahir di tengah-tengah kemelut perjuangan maka dia terpaksa berjuang sama ada suka atau tidak. Ada orang dilahirkan dalam keadaan tenang tetapi wataknya pejuang, maka dia akan mencari medan perjuangan walaupun jauh beribu-beribu batu. Walaupun menghadapi berbagai risiko. Berjuang adalah nikmat bagi mereka yang darahnya senantiasa suam dengan perjuangan. Orang berjuang tidak boleh berdarah panas dan tidak boleh juga berdarah dingin. Darahnya darah suam. Panas sangat tidak, dingin sangat pun tidak. Terlalu berani tidak, terlalu penakut pun tidak. Pejuang berani pada tempatnya. Dia takut pada waktu dan tempat yang munasabah. Keseimbangan antara keduanya menjadikan para pejuang hidup segar. Jiwanya tidak mati, tidak patah semangat, tidak kecewa menghadapi kegagalan dan tidak juga melonjak gembira di waktu mencapai kejayaan. Tidak ada istilah pencen bagi pejuang. Pencen hanya dengan kematian. Akalnya sentiasa berfikir tentang matlamat perjuangan dan jalan yang harus ditempuh, serta sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan. Pejuang yang tergelincir dari garis haluan dan matlamat akan menanggung risiko. Kalau benar dia pejuang, pasti dia akan cuba kembali kepada garis perjalanannya yang sebenar. Pejuang mengorbankan hidup untuk cita-cita perjuangannya, bukan untuk yang lain. Hidup matinya adalah untuk perjuangannya. Tetapi, tidak kurang juga para pejuang terpaksa atau sengaja menggadai prinsip perjuangan apabila menghadapi kesulitan atau berhadapan dengan tawaran. Sejarah hidup mereka akan dicatat sebagai orang yang mengalah atau pengkhianat. Terpaksa menggadai prinsip kerana kesulitan yang tidak tertanggung akan dikira mengalah. Begitu jugalah jika menggadai prinsip kerana tawaran musuh, maka dia adalah pengkhianat. Bukan senang menjadi pejuang berjaya. Kejayaan dalam perjuangan berada di pihak yang cekal hatinya serta tepat percaturannya. Berhaklah pejuang yang berjaya mendapat pahala di sisi Allah kerana berjuang itu bukan mudah. Namun, ia adalah nikmat bagi mereka yang berkeyakinan. Berjuang bukanlah berlakon di layar perak. Berjuang adalah kebenaran hidup. Oleh itu, para pelakon atau munafikin tidak boleh lama dalam barisan pejuang-pejuang yang ikhlas kerana Allah. Mereka akan terpelanting keluar di saat ujian-ujian mencabar keyakinan. Yakin adalah ubat pahit yang mesti ditelan oleh mujahidin yang jujur. Semua ini tidak diketahui kecuali teruji. Sebab itulah para pejuang sering diuji dengan pelbagai ujian yang melanda perasaan, fikiran, keyakinan dan juga fizikal. Barangsiapa yang dapat melintasi semua ujian dan rintangan ini maka dia akan sampai kepada matlamat perjuangannya. Sesiapa yang gagal akan tertinggal. Sesiapa yang berjaya sebahagian dan gagal sebahagiannya pula akan teruji lagi pada satu bidang yang lain. Inilah dunia orang berjuang. Agama akan berjaya apabila pejuang-pejuangnya berjihad sungguh-sungguh. Agama Islam adalah ajaran ilahi. Ia turun kepada Nabi Muhammad S. A. W. Bagindalah yang mencari barisan mujahidin yang mahu memperjuangkannya. Maka, ia menjadi teguh dan kuat dengan adanya para pejuang serta menjadi lemah apabila sudah tidak diperjuangkan lagi. Hari ini, umat Islam ingin melihat Islam kuat tetapi tidak ramai yang mahu berjuang. Mana mungkin akan terjadi semua itu? Untuk mencapai cita-cita melihat Islam kuat dan berdaulat, marilah kita berjuang.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

'SUDAHKAH ANDA SOLAT '

Kepentingan Menjaga Solat Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”

Riwayat at-Tirmidzi