Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Rabu, 10 Desember 2008

Mualaf Orang Asli perlu guru agama
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD - Utusan Malaysia


BANDAR JENGKA 5 Dis. - Saudara baru Orang Asli Sungai Bakong dekat sini memerlukan guru agama untuk memberi bimbingan kepada mereka mengenai Islam.
Sehubungan itu, mereka meminta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menghantar guru agama untuk mengadakan kelas bimbingan di penempatan mereka.
Seorang warga emas, Awang Kiting Awang Ubi, 64, berkata, lebih 20 keluarga di penempatan itu beragama Islam sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, sebuah surau telah dibina di penempatan itu tetapi aktivitinya terlalu kurang sedangkan saudara baru amat memerlukan bimbingan dan ajaran mengenai agama Islam.
''Walaupun masyarakat Orang Asli di sini menerima banyak kemudahan daripada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) seperti rumah, elektrik dan air bersih namun bimbingan ajaran Islam masih kurang,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.
Rakannya, Noh Sumie, 66, turut kecewa kerana kehidupannya selaku saudara baru terabai sejak memeluk Islam 10 tahun lalu.

Selain bimbingan ajaran Islam, dia juga merayu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan JHEOA menyalurkan bantuan bulanan kepada warga emas Orang Asli yang uzur di penempatan itu kerana mereka tidak mampu bekerja.
''Bantuan bulanan itu dapat meringankan sedikit beban warga emas di sini untuk meneruskan sisa hidup mereka," katanya.

Seorang lagi penduduk, Lata Mahmud, 30, berkata, JAIP dan jabatan kerajaan lain perlu sering membuat lawatan ke penempatan itu untuk mengetahui masalah yang dihadapi penduduk.
Katanya, majoriti penduduk di sini yang beragama Islam masih cetek pengetahuan agama dan mereka perlu diberi bimbingan yang lebih mendalam.
"Walaupun kampung ini berhampiran dengan tanah rancangan Felda tetapi terdapat perbezaan yang ketara dari segi pembangunan, persekitaran dan kemudahan yang disediakan kepada penduduk," katanya.

Lata bagaimanapun bersyukur kerana banyak kemudahan disediakan kerajaan bagi membantu masyarakat Orang Asli untuk bersaing dengan kaum lain.

Mendekati masyarakat Orang Asli perlu strategi
Oleh W. RAHIMAH DRAMAN - Utusan Malaysia

JANGAN tipu Orang Asli. Kami tidak mudah ditipu dan payah untuk diyakini oleh orang luar, terutama dari bandar.

“Kalau mahu kami percaya, yakin dan terima ‘orang luar’, jangan pandang rendah dan jijik dengan cara dan budaya hidup masyarakat kami.”

Demikian ingatan jujur Tok Batin Husin Ngah Yin, dari Perkampungan Orang Asli Hulu Gombak ketika menyuarakan kegelisahan masyarakatnya pada seminar Program Dakwah Orang Asli yang berlangsung di kompleks Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada 16 November lalu.

Orang luar menurut Tok Batin Husin, hanya boleh menjadi ‘saudara’ Orang Asli jika mereka datang, duduk, makan, bergaul dan tinggal bersama dan sedia melalui amalan budaya hidup mereka.

Beliau menyuarakan sedemikian ekoran jarang berlaku pendakwah muslim tempatan negara ini berminat untuk menjelajah dan tinggal di perkampungan Orang Asli dalam menjalankan kerja dakwah.

Jika ada yang turun padang pun beritahunya, pendakwah sama ada dari agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan, sekadar datang bagi mengislamkan Orang Asli bukan memuslimkan mereka.

Pendakwah Islam menurutnya, tidak ada bezanya dengan orang politik. Mereka datang apabila menjelang pilihan raya, tetapi selepas itu lesap dan tidak pernah menjenguk atau bertanya khabar lagi sehingga tiba pilihan raya berikutnya pula.

“Sebenarnya apa yang dibuat oleh agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan Islam sekarang tidak diperlukan oleh Orang Asli,” jelasnya.

Sebaliknya apa yang diperlukan oleh Orang Asli mengenai keagamaan ialah mengetahui di mana Tuhan dan untuk siapa serta di mana boleh dapat syurga, tegasnya.
Sebab itu beritahu Tok Batin Husin lagi, untuk berdakwah kepada masyarakat Orang Asli mereka perlu bijak dalam mengguna pendekatan perkara-perkara yang jelas lagi nyata.
“Inilah pendekatan pendakyah Kristian sehingga mereka berjaya mempengaruhi Orang Asli biarpun hakikatnya mereka tidak yakin dan sukar menerima konsep tiga tuhan dalam doktrin Kristian yang disogokkan kepada mereka,” jelasnya.

Seminar program dakwah untuk masyarakat Orang Asli itu diadakan atas usaha Persatuan Alumni Kolej Islam Klang dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Program setengah hari itu telah dihadiri oleh penggiat kerja-kerja dakwah di kalangan badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan individu sekitar Lembah Klang.
Bagi Tok Batin Husin, Orang Asli dan Orang Melayu adalah serupa.

“Kita sama-sama rakyat pribumi. Jadi biarlah susah dan senang dikongsi bersama, bukan terus memencil dan meminggirkan Orang Asli sama ada dalam pembangunan mahupun keagamaan,” ujarnya.

Walaupun Orang Asli asalnya tidak ada apa-apa pegangan keagamaan dan masih terlalu banyak yang buta huruf, tetapi peredaran masa dan keadaan kata beliau, tetapi keinginan untuk mengenal dan mempercayai Tuhan telah wujud dan semakin tinggi.
Orang Asli menurut Tok Batin Husin, adalah masyarakat yang penuh budi bahasa dan lembut terhadap orang luar, sebagaimana orang Melayu.
Tetapi dalam komuniti Orang Asli sendiri tegas beliau, mereka sebenarnya garang, liar dan agak ganas.

“Sebenarnya ramai dari kalangan masyarakat kami sekarang sedang mencari dan ternanti-nanti orang yang boleh menunjukkan mereka jalan kepada Tuhan,” jelasnya.
Menurut Jasut Yusof pula, Orang Asli yang telah diislamkan mesti terus didampingi oleh para pendakwah bukan hanya untuk menyampaikan ceramah.
“Mereka perlu didakwah secara fizikal dan lahiriah, sama ada menyedia dan membekalkan pelbagai keperluan asas hidup atau terus berkampung bersama mereka,” beritahu pegawai kesihatan Hospital Orang Asli Gombak itu.
Sikap dan pendekatan itulah beritahu Jasut, diamalkan oleh mubaligh dan kalangan pendakyah Kristian.

Menurutnya, para mubaligh bukan Melayu gemar berhijrah dan bermastautin di kampung-kampung Orang Asli dan menjadi sebahagian daripada kelompok kami demi menjayakan misi Kristian mereka.

“Tetapi ini tidak dilakukan oleh pendakwah Islam dan orang Melayu terutamanya, sebab mereka tidak dapat menerima cara dan budaya hidup Orang Asli di pendalaman.”
Sedangkan kebanyakan masyarakat kami lebih meyakini Islam sebagai agama bukan Kristian atau yang lainya, tambahnya.

Kata Jasut, Orang Asli ada 18 sukuan etnik dan masing-masing mempunyai bahasa, budaya hidup, kepercayaan dan amalan yang berbeza.
“Jadi adalah lebih mudah bagi mana-mana pendakwah mengenali sukuan etnik berkenaan dan menjadikan Tok Batin atau yang berpengaruh dalam sesuatu sukuan sebagai sahabat serta saudara sendiri,” jelasnya.

Dalam hubungan ini, Datuk Dr. Abdul Razak Awang Kechik yang berpengalaman berpuluh tahun berbakti dan mendampingi masyarakat Orang Asli pedalaman di seluruh negara berpendapat, tidak ada sebab mengapa masyarakat Orang Asli tidak Islam.
“Kecuali jika kita umat Muslim tidak melaksanakan tanggungjawab untuk menyebar dan mengajak mereka kepada Islam,” katanya.
Yang menjadi masalah kata beliau, kalangan pendakwah sendiri tidak faham konsep dakwah dengan beranggapan dakwah ialah berceramah mengenai Islam dan mengislamkan saudara baru.

“Setiap dari kita perlu fahami dan hayati apa yang terkandung dalam surah al-Ikhlas, kerana tugas berdakwah ini bukan peranan orang-orang agama sahaja tetapi setiap muslim,” katanya.
Oleh itu, tegas beliau, setiap Muslim terutama para pendakwah sendiri perlu menghayati Rasulullah SAW berdakwah dan kembali kepada konsep dakwah yang disarankan oleh al-Quran.
Doktor perubatan bergerak persendirian yang memilih berbudi kepada Orang Asli, sekali gus menyebarkan Islam kepada mereka turut memberikan tujuh sebab mengapa masyarakat Orang Asli perlu memilih Islam.

Islam agama rasmi negara dan Orang Asli adalah rakyat pribumi sebagaimana Orang Melayu.
Yang Di Pertuan Agong dan semua pemimpin adalah Islam.
Orang Asli perlu bergabung dengan Orang Melayu untuk jadi bangsa kaum yang kuat.
Semua agensi dan jabatan kerajaan bertanggungjawab membantu.
Orang Asli terlalu banyak pecahan etnik akan hancur dan lenyap jika tidak pilih Islam.
Orang Asli Kristian memusuhi Orang Asli amanisme dan Islam tetapi muslim Melayu berjiran dengan Orang Asli dalam semua aspek dan boleh bersatu dalam Islam dan fitrah kemanusiaan.
Hanya Islam agama yang benar, baik dan diterima Allah SWT.

Sehubungan itu Dr. Razak yang menghabiskan sebahagian besar daripada profesion dan hidupnya bersama masyarakat Orang Asli menyarankan agar pendakwah Muslim membuat perubahan drastik bagi memastikan kehidupan Orang Asli lebih Islamik.
“Membawa Islam kepada Orang Asli adalah amanah dan tanggungjawab setiap Muslim,” tegasnya.

Lagipun tambah beliau, Orang Asli sudah lama kenal Islam malah mereka sudah tahu dan biasa dengan Islam kerana Orang Melayu adalah sebahagian daripada komuniti mereka.
Para daie katanya, perlu belajar daripada cara dakyah yang digerakan oleh Sidang Injel Borneo (SIB) yang banyak masuk dan tinggal di perkampungan Orang Asli untuk mengkristiankan mereka dan menanamkan permusuhan terhadap Islam.

1 komentar:

  1. AsSalam.
    Saya berminat untuk mendermakan baju-baju terpakai anak-anak saya yang masih elok. Bagaimana caranya?

    BalasHapus

'SUDAHKAH ANDA SOLAT '

Kepentingan Menjaga Solat Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”

Riwayat at-Tirmidzi