Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Senin, 08 Desember 2008

Tanah Runtuh...Mengapa?

Ulasan Akhbar :

Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, menggemparkan seluruh negara dan kejadian ini bukan kali pertama berlaku di kawasaan yang sama. TV dan akhbar telah membuat liputan pelbagai tajuk dan warna gambar kejadian tersebut sehingga sebahagian besar berita TV berkisar kejadian ini. PM dan TPM masing-masing membuat kenyataan, diikuti menteri-menteri berkaitan. Pakar-pakar Sains dan Teknologi merumuskan kejadian ini berlaku disebabkan struktur tanah di kawasan lereng bukit, tanah menampung terlalu banyak air dan macam-macam lagi. Semua itu merupakan sebab musabab kejadian ini berlaku. Hakikatnya, perlu kita fikirkan seketika tentang firman Allah dalam al-Quran, surah alKahfi ayat 32 hingga 42.

Mari kita sama-sama membaca Tafsir al-Quran Rasm Uthmani (Prof. Dr. Hj. Mahmud Yunus ) pada halaman 424 -426 berkaitan ayat 32 hingga 42 surah al Kahfi; Dalam ayat-ayat ini Allah SWT memberi satu perumpamaan iaitu dua orang lelaki bersaudara, seorang kafir bernama Qatrus dan seorang lagi mukmin bernama Yahuza. Keduanya mendapat pusaka dari orang tuanya 8000 dinar, lalu dibahagi dua, masing-masing mendapat 4000 dinar. Oleh Qatrus, wang itu dibelikannya tanah yang luas untuk dijadikan kebun. Dan saudaranya yang mukmin, Yahuza mengorbankan hartanya untuk amal kebajikan sehingga habislah semua wangnya. Qatrus telah mempunyai dua bidang kebun yang luas; iaitu kebun anggur dilingkari dengan pohon-pohon kurma yang berderet-deret dan indah. Di antara keduanya ditanam pula dengan bermacam-macam tanaman. Di dalam kebun itu mengalir air untuk menyirami kebun itu. Pada suatu hari, datang Yahuza menemui Qatrus lalu Qatrus berkata, aku lebih kaya darimu, hartaku lebih banyak, pengikutku juga ramai. Lalu dibawanya Yahuza masuk ke dalam kebun-kebun sambil menyombong diri, seraya berkata: kebun ini tidak akan musnah, bahkan akan tetap kekal. Kiamat juga pasti tidak akan datang, jawab saudaranya; Patutlah engkau kafir ( engkar) terhadap Allah SWT yang menjadikan engkau dari tanah, kemudian dari air lelaki kemudian menyempurnakan kejadianmu sebagai seorang lelaki.Tapi aku tetap yakin bahawa Allah SWT tuhanku, dan tidak pernah aku menyekutukannya dengan sesuatu juapun. Ketika kamu masuk ke kebun itu, mengapa kamu tidak sebut Maasya Allah, la haula wala quwwata illaa billah ( inilah kehendak Allah, tiada kekuatan melainkan dari Allah Taala).
Jika kamu melihat aku kekurangan harta dan anak-anak, maka, mudah-mudahan Allah SWT menganugerahiku kebajikan yang lebih baik dari hasil kebunmu. Siapa tahu, boleh jadi Allah SWT mendatangkan bahaya dari langit ke kebunmu, lalu musnah dan licin tanahnya, atau air dalam kebun itu dihisap tanah, sehingga kering dan tandus. Sebab itu, jangan engkau menyombong diri. Tidak lama kemudian, datang bahaya yang tidak disangka-sangka, sehingga musnah semua kebun itu, baru dia insaf dan menyesal, tetapi sesal kemudian tidak berguna. Perumpamaan ini patut dijadikan pengajaran bagi orang-orang kaya yang sombong kerana kekayaannya. Mereka harus insaf, bahawa harta benda itu adalah amanah Allah SwT di tangannya. Apabila Allah SWT kehendaki, nescaya diambil-Nya kembali
.


Aliran air bawah tanah punca runtuh - Najib

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

NAJIB Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor mendengar keluhan mangsa ketika melawat kawasan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, semalam.

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang mengorbankan empat nyawa nyawa dipercayai berpunca daripada aliran air bawah tanah di kawasan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, melalui siasatan awal, aliran air itu adalah serupa dengan punca tragedi tanah runtuh di pangsapuri Highland Towers yang berlaku 15 tahun lalu.
"Ini yang paling berbahaya sekali kerana kita tidak tahu sebenarnya tanah di kawasan itu terancam.
"Walaupun kawasan itu nampak seolah-olah selamat tetapi sebenarnya tidak dan kita mesti lebih berhati-hati dalam meluluskan sebarang projek pembangunan di kawasan sebegini," katanya pada sidang akhbar selepas melawat lokasi kejadian di sini hari ini.
Justeru, katanya, kerajaan mengambil pendirian tegas untuk tidak lagi meluluskan sebarang permohonan pembangunan di kawasan-kawasan lereng bukit yang berisiko tinggi.
Menurutnya, beliau berharap para pemaju dapat mematuhi arahan itu dan tidak melobi untuk mendapatkan kelulusan bagi projek pembangunan di kawasan-kawasan sedemikian pada masa hadapan.
Dalam perkembangan sama, Najib berpuas hati dengan kerja-kerja mencari dan menyelamat yang dijalankan agensi-agensi berkaitan di lokasi kejadian.
Katanya, agensi kerajaan seperti polis, tentera, Pertahanan Awam (JPA 3) serta Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) menunjukkan kerjasama yang baik sepanjang kerja-kerja mencari dan menyelamat dilakukan.
Selain itu katanya, pihak polis juga menunjukkan kecekapan mereka apabila mengeluarkan dua mangsa kejadian yang masing-masing diserang sakit jantung dan hamil dari tempat kejadian dengan menggunakan helikopter.
Namun, katanya, pihak penyelamat perlu mengambil tindakan dengan penuh berhati-hati kerana kawasan itu masih belum stabil.
''Kalau ada aktiviti yang boleh menggegarkan kawasan ini, ia boleh memberi kesan terhadap pergerakan tanah," jelasnya.


1,500 rumah di Bukit Antarabangsa bergelap

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Sebanyak 1,500 buah rumah dari sembilan buah taman di Bukit Antarabangsa bergelap malam ini kerana 12 daripada 16 pencawang elektrik yang rosak tidak dapat dibaik pulih.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, perkara itu berlaku kerana kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak dibenarkan menghampiri pencawang terbabit kerana ia berada berdekatan kawasan bencana.
"Bagaimanapun kita telah menyediakan janakuasa dan apabila pencawang itu boleh dibaiki kita terus sambung bekalan.
"Saya harap 5,000 penduduk yang terjejas mengambil langkah keselamatan sekiranya mereka menggunakan lilin bagi mengelak berlakunya malapetaka lain," katanya ketika ditemui semasa melawat kawasan bencana tanah runtuh itu di sini hari ini.
Mengenai bekalan air pula Shaziman berkata, bekalan untuk 2,200 buah rumah telah dipulihkan manakala baki 800 lagi dijangka pulih tengah malam ini.
Beliau yang juga memangku tugas Menteri Kerja Raya berkata, seramai 12 pegawai teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dikejarkan ke tempat kejadian.
Katanya, pegawai terbabit akan melakukan kajian mengenai kejadian tanah runtuh itu.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mendiami kawasan bercerung dan bertebing supaya memerhatikan sebarang kelainan pada strukturnya.
"Saya harap mereka membuat laporan kepada pihak berwajib, mereka perlu berhati-hati kerana Jabatan Kaji Cuaca meramalkan hujan akan berlarutan dalam masa terdekat," katanya.


Ketua Setiausaha Sulit PM terselamat

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, di sini awal pagi ini kerana bermalam di rumah ibunya.
Mohamed Thajudeen berkata, disebabkan pulang lewat malam tadi selepas habis urusan kerja, beliau sekeluarga mengambil keputusan untuk bermalam di rumah ibunya, di Kampung Baru.
"Walaupun saya sedih dengan apa yang menimpa, namun saya bersyukur kepada Allah kerana kami sekeluarga terselamat dari malapetaka itu.
"Saya langsung tidak menyangka keputusan kami untuk bermalam di rumah ibu saya ada hikmah di sebaliknya," katanya ketika ditemui di sini.
Menceritakan peristiwa itu Mohamed Thajudeen berkata, beliau menerima panggilan daripada salah seorang jirannya kira-kira pukul 4 pagi dan tiba di lokasi kejadian satu jam kemudian.
Katanya, beliau yang tidak menyangka runtuhan berkenaan seperti yang dikatakan oleh jirannya itu bagaimanapun terkejut apabila melihat sebahagian besar rumahnya musnah dalam runtuhan tersebut.
"Sedih... saya tinggal di rumah ini lama," ujarnya.
Tinjauan Mingguan Malaysia di lokasi kejadian mendapati sebuah kereta CRV dan Perdana milik Mohamed Thajudeen turut tertimbus dalam kejadian itu.
Dalam pada itu, kehadiran penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya Datuk Seri Khalid Jiwa di lokasi kejadian mencuri perhatian para petugas media yang bertugas di kawasan berkenaan sejak pukul 6.30 pagi itu.
Siti Nurhaliza yang tinggal kira-kira satu kilometer dari kawasan kejadian berkata, beliau tidak mendengar sebarang bunyi ekoran runtuhan tanah tersebut yang meranapkan 14 buah rumah.
Tambahnya, buat masa ini beliau sekeluarga belum mengambil sebarang keputusan untuk berpindah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

'SUDAHKAH ANDA SOLAT '

Kepentingan Menjaga Solat Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”

Riwayat at-Tirmidzi