Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Senin, 13 April 2009

Surau Malanggang daif


Oleh JUNAIDI LADJANA

utusansabah@utusan.com.my


SURAU Kampung Malanggang di Kiulu ini tidak ada air, elektrik dan kelengkapan untuk solat . - UTUSAN/ GHAZALI BASRI


KIULU 12 April - Penduduk di Kampung Malanggang di sini menggesa pihak berkuasa segera menaik taraf kemudahan surau di kampung berkenaan yang serba serbi kekurangan.

Penduduk mendakwa, keadaan surau berkenaan sungguh daif sehingga menyukarkan umat Islam khususnya saudara-saudara baru melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai seorang Islam.

Pengerusi Surau Malanggang, Joitin Suman, 44, mendakwa hampir 20 tahun kedaifan itu berlarutan tanpa ada sebarang usaha daripada pihak berwajib untuk membaik pulih surau berkenaan.

Dia yang tinggal di kampung berkenaan sejak 1979 berkata, sekali pandang, surau tersebut tidak ubah seperti sebuah pondok usang.

"Ini disebabkan tiada sebarang lambang dan juga papan tanda yang mengatakan itu surau, menyebabkan orang ramai menyangkakan ia seakan pondok buruk sahaja.

"Sudahlah tiada kemudahan asas seperti air dan juga elektrik, surau berkenaan juga kekurangan kelengkapan untuk sembahyang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, ruang solat amat sempit dan hanya boleh menampung tidak lebih 20 orang dalam satu-satu masa.

Selain itu, jemaah juga perlu pergi berjalan sejauh 300 meter untuk mengambil wuduk di sekolah berhampiran kerana surau berkenaan tidak dilengkapi kemudahan air.

Tambah menyedihkan, katanya, jemaah lelaki dan wanita perlu menggunakan pintu masuk yang sama untuk memasuki surau berkenaan.

''Wanita juga kena melalui tempat jemaah lelaki bersolat terlebih dahulu sebelum dapat memasuki ke ruang solat mereka," katanya.

Beliau berkata, selain itu, hampir keseluruhan binaan bangunan surau terbiar usang tanpa sebarang penyelengaraan atau usaha pemulihan.

"Tanpa pagar, menyebabkan binatang liar seperti anjing dan kerbau memasuki kawasan surau itu. Lebih teruk lagi najis binatang tersebut bertaburan di kawasan surau berkenaan sehingga mendatangkan bau yang amat busuk," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Surau berkenaan, Amin Tomin Gidala, 40, berkata, penduduk hairan mengapa permohonan mereka untuk menyelesaikan masalah surau berkenaan tidak mendapat maklum balas daripada pihak berkuasa.

"Saya merayu kepada kerajaan dan jabatan-jabatan kerajaan yang lain supaya memberi peruntukan sewajarnya kepada surau di kampung ini.

"Ini supaya memudahkan penyaluran kemudahan asas ke atas surau ini, demi keselesaan masyarakat Islam di sini," katanya.

Sementara itu guru agama di surau berkenaan, Roslan Awang, 45, berkata, dia terpaksa mengehadkan masa mengajar seminggu sekali kepada orang ramai di kampung Malanggang kerana keadaan tempat yang terhad dan tiada kemudahan asas.

"Dulu, kita buat dua dan tiga kali seminggu untuk aktiviti seperti kelas Kafa dan bacaan Iqra kepada umat Islam yang berminat terutama kepada saudara baru di sini.

"Kita juga ada mengadakan kelas malam tetapi sekarang tidak lagi disebabkan kemudahan seperti lampu tiada, menyebabkan aktiviti ini hanya diadakan sebelah siang sahaja," katanya.

Menurutnya, apa yang diharapkan bukan kemewahan tetapi cukup sekadar keselesaan seperti ruang yang lebih luas, peralatan sembahyang dan kemudahan mengajar yang mencukupi.

"Disinilah sahaja kawasan terdekat para penduduk kampung Malangang belajar Kafa dan Iqra, selain menunaikan solat bersama.

"Pada tahun lalu kita mengadakan solat Tarawih, tetapi hanya seminggu sekali kerana masalah yang sama, tiada kemudahan asas.

''Oleh itu kita amat mengharapkan kemudahan asas surau ini diperbaiki. Itu sahaja yang kami minta," katanya.












Tidak ada komentar:

Posting Komentar

'SUDAHKAH ANDA SOLAT '

Kepentingan Menjaga Solat Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”

Riwayat at-Tirmidzi