Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Jumat, 04 September 2009

Allah Melipatgandakan Pahala Bagi Orang Yang Berpuasa


Rasulullah s.a.w. bersabda: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla Berfirman: “Melainkan puasa, kerana ianya untukKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu”. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi disisi Allah daripada bau Misk. (minyak wangi kasturi).

(Al-Bukhari dan Muslim)




Kelebihan Menyegerakan Berbuka Puasa

Daripada Sahal bin Said r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya akan mendapat kebaikan yang berterusan”.

(al-Bukhari dan Muslim)


'Melengah-lengahkan Waktu Berbuka'

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: ”Manusia tidak henti-hentinya mendapat kebaikan selama mereka mempercepatkan berbuka puasa.”

Riwayat Bukhari dan Muslim




Masjid Bandar kebanggaan umat Islam di Sabah


Masjid Bandar Kota Kinabalu yang diambil alih pada tahun 1974 dari SDA Sabah.


JAM menunjukkan tepat pukul 12.23 tengah hari dan cuaca panas terik begitu dirasai di bandar raya Kota Kinabalu yang terletak bersebelahan dengan Laut China Selatan.

Perbezaan waktu di negeri ini iaitu kira-kira sejam berbanding di Semenanjung menyaksikan laungan azan turut berkemundang awal memecah kesibukan bandar raya pesisir pantai itu.

Penulis yang berada berhampiran sebuah bank di bandar raya ketika itu terus tercari-cari arah suara azan itu.

Tidak berapa jauh berjalan dan sebaik sahaja melintasi jalan besar, mata penulis terpandang sebuah bangunan kuning di atas bukit yang tidak salah lagi tempat bilal melaungkan azan.

Langkah terus diatur dan terasa sedikit kepenatan menaiki bukit untuk ke masjid yang terletak di tengah-tengah bandar raya itu.

Namun sebaik sahaja sampai di hadapan masjid berkenaan langkah kaki penulis terhenti seketika sebaik sahaja ternampak tulisan SDA di tiang kubah masjid berkenaan.

Namun penulis gagahi juga langkah meskipun perkataan SDA atau pun Seven Day Adventist itu begitu banyak menimbulkan persoalan kepada penulis yang merasakan ia adalah satu daripada aliran bagi penganut agama Kristian.

Selepas menunaikan solat Zuhur bersama para jemaah, hati penulis yang masih diselubungi seribu satu persoalan terus bertanya kepada salah seorang jemaah.

"Masjid ini merupakan sebuah gereja satu masa dahulu, namun saya tidak tahu lebih lanjut mengenai sejarah masjid ini, tetapi saya rasa ia di bawah jagaan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA)".

Ekoran perasaan ingin tahu, penulis terus mengatur pertemuan dengan Setiausaha Agung USIA, Datuk Abdullah Hussin.

Menurut Abdullah, masjid tersebut yang dikenali sebagai Masjid Bandaran berasal daripada sebuah gereja yang dibina sekitar tahun 1930-an.

Katanya, masjid yang kini dimiliki USIA itu dibeli dengan harga kira-kira RM1.05 juta atas arahan daripada Yang Dipertua USIA ketika itu iaitu Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Menurutnya, penyerahan kunci gereja berkenaan telah dilakukan pada hari Jumaat, 20 Disember 1974 dalam upacara sederhana.

Beliau berkata, kunci gereja itu telah diserahkan oleh wakil jawatankuasa gereja berkenaan kepada Setiausaha Agung USIA pada waktu itu, Datuk Abdul Hamid Egoh.

"Selain kejayaan menegakkan syiar Islam melalui gerakan-gerakan dakwah, USIA juga mengambil satu langkah berani dengan membeli bangunan gereja SDA di Kota Kinabalu, berhampiran padang Bandaran Kota Kinabalu.

"Gereja yang terletak di kawasan seluas 0.56 hektar itu kemudian diubahsuai sebagai tempat beribadat bagi orang Islam yang tinggal sekitar bandar raya Kota Kinabalu, di samping dijadikan pusat kegiatan dakwah termasuklah ceramah-ceramah," katanya.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar takwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid ditepi jurang yang (hampir runtuh). (at-Taubah: 109)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, Sesiapa yang membina masjid, Allah SWT akan bina baginya sebuah rumah di dalam syurga. (riwayat Muslim).

Pembelian gereja

Abdullah berkata, kejayaan pembelian gereja berkenaan yang kemudiannya ditukar kepada masjid amat bermakna kepada umat Islam.

Katanya, lokasi masjid berkenaan mempunyai unsur dakwah dan mempunyai nilai dakwah yang begitu tinggi.

"Nilainya ialah ia kepunyaan bukan Islam, jadi kemampuan kita membeli menunjukkan kekuatan Islam yang mana kita dapat menguasainya dengan baik tanpa ada bantahan keras," katanya.

"Meskipun masjid Bandaran yang dikenali juga sebagai masjid SDA bukanlah masjid pertama di negeri ini, namun masjid tersebut memberi impak besar kepada perkembangan Islam di negeri ini.

"Sebenarnya sejarah masjid tersebut yang berasal dari sebuah gereja SDA cukup bererti selepas ia kini bertukar menjadi sebuah masjid yang sentiasa dikunjungi umat Islam," katanya.

Dalam pada itu katanya, reka bentuk bangunan utama masjid itu kini masih dikekalkan, cuma loceng gereja telah tiada selain pembinaan bangunan tambahan di bahagian belakang yang turut menempatkan asrama pelajar tahfiz. Ia mula beroperasi pada 2007.

Pusat yang dikenali sebagai Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran As-Syafibiyah (PPTQAS) itu mula ditubuhkan pada 2005 di Kepayan sebelum dipindahkan ke masjid itu ekoran pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Pusat itu kini mempunyai 29 pelajar yang kebanyakannya terdiri daripada golongan remaja yang miskin dan tidak mampu meneruskan pembelajaran di peringkat sekolah.

Selain itu, terdapat juga anak yatim dan juga remaja yang baru masuk Islam dan ingin memahami dan mempelajari ajaran Islam.

Pusat yang diketuai oleh Julniealam Amilussin itu telah didaftarkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JAHEINS). Ia turut dikendalikan oleh Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA). Yuran pengajian adalah RM350.

Menurut Abdullah, sehingga kini lambang SDA masih lagi dikekalkan pada menara masjid yang menempatkan pembesar suara.

Katanya, bagi memastikan arah kiblat yang betul, para jemaah yang bersembahyang tidak mengadap hadapan masjid berkenaan tetapi menyerong ke kiri.

Menyingkap mengenai sejarah sehingga terjadinya pembelian gereja berkenaan, beliau menyifatkannya sebagai satu rahmat dan kurniaan Allah kepada umat Islam.

Kata Abdullah, Abdul Hamid yang bertanggungjawab dalam perbincangan membeli gereja berkenaan pernah menyatakan bahawa beliau tidak pernah terbayang rancangan membeli gereja berkenaan akan menjadi kenyataan.

"Pada mulanya, Abdul Hamid memberitahu Tun Mustapha harga jualan RM80,000 dan apabila mendengar harga tersebut Tun Mustapha bersetuju.

''Tetapi tidak tahu di mana silapnya, harga sebenar gereja berkenaan adalah RM800,000. Abdul Hamid kembali memaklumkan kepada Tun Mustapa dan beliau yakin Tun Mustapha tidak akan bersetuju dengan harga tersebut.

''Namun alangkah gembira Abdul Hamid apabila beliau menghantar memo kepada Tun Mustapha mengenai tanah yang turut menempatkan gereja itu, beliau juga bersetuju dengan harga itu," katanya.

Dalam pada itu bendahari masjid SDA, Abdul Kahar Abdul Rahman berkata, masjid yang dipengerusikan oleh Timbalan Yang Dipertua USIA, Datuk Lajim Ukin itu tidak mendapat peruntukan daripada mana-mana pihak.

Bagaimanapun katanya, elaun bagi imam dan bilal masjid yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan itu dibayar oleh USIA.

"Kita tidak ada peruntukan bulanan dan cuma menggunakan tabung bulanan selain sumbangan dari orang ramai," jelasnya.

Ketika ditanya sama ada terdapat usaha daripada sesetengah pihak untuk membeli masjid berkenaan, beliau menjelaskan USIA tidak akan sesekali menjual aset berharga itu.

Mempertahankan

"Memang ada saya dengar ada cubaan hendak membeli dan memberi tekanan satu waktu dulu tetapi sebagai sebuah NGO Islam, USIA akan terus mempertahankan masjid ini dan satu kegagalan bagi kami sekiranya ia dijual kepada pihak lain," ujarnya.

Ini sesuai dengan firman Allah: Hanya yang berhak memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang yang percaya kepada Allah dan hari kemudian, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, serta tidak takut melainkan Allah, mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk daripada Allah Taala (at-Taubah: 18)

Sementara itu, katanya, USIA juga berharap mana-mana pihak dapat memberikan bantuan bagi menambah baik lagi masjid berkenaan.

Tambahnya, bantuan orang awam juga amat perlu bagi membesarkan lagi asrama yang menempatkan pelajar tahfiz.

Bantuan boleh disalurkan terus kepada pihak USIA dengan datang ke pejabat USIA di alamat Bangunan Ibu Pejabat USIA, Jalan Sembulan, Peti Surat 10316, Kota Kinabalu atau menghubungi 088-240151.



Sumbangan Tun Mustapha kepada Islam di Sabah


DATU MUSTAPHA datu Harun


APABILA bercerita tentang Masjid Bandaraya atau lebih dikenali sebagai masjid SDA, nama Tun Datu Mustapha Datu Harun pasti akan disebut. Namun tidak ramai yang tahu lebih lanjut latar belakang beliau dan apakah sumbangan besarnya kepada perkembangan Islam di negeri ini.

Tun Datu Mustapha yang mempunyai sembilan adik-beradik dilahirkan pada 31 Julai 1918 di Kampung Limau-Limauan, Kudat, Sabah.

Beliau yang digelar Bapa Kemerdekaan Sabah dan Bapa Pembangunan Sabah merupakan Yang di-Pertua Negeri Sabah pertama dan Ketua Menteri Sabah ketiga.

Sumbangan beliau kepada negeri ini amat besar, malah tidak dapat dinafikan lagi tiada individu tertentu yang boleh dikaitkan dengan kemerdekaan Sabah melainkan Tun Mustapha.

Perjalanan ke arah kemerdekaan bermula apabila Tun Mustapha yang mewakili Sabah menghantar memorandum cadangan kepada Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan British untuk mengenalpasti keinginan sebenar rakyat jajahan British di Borneo menyertai Malaysia.

Impian mencapai kemerdekaan ini menjadi kenyataan apabila proklamasi Akta Malaysia yang dibuat pada 16 September 1963 dibaca di Padang Bandaran Kota Kinabalu.

Tun Mustapha turut dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri dari 16 September 1963 hingga 15 September 1965, menandakan permulaan era pembangunan Sabah.

Dalam sinar perkembangan Islam di negeri ini jasa beliau yang paling ketara adalah usaha menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi, selain Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi.

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Abdullah Hussin, keputusan masyarakat Islam Sabah yang diketuai Tun Mustapha untuk menyertai Persekutuan Malaysia dipengaruhi oleh kesedaran tentang nasib dan masa depan umat Islam di negeri ini.

Dengan penyertaan ke dalam Malaysia, nasib umat Islam di negeri ini akan mendapat perhatian daripada saudara-saudara Islam di negeri-negeri lain di Malaysia.

Selain itu katanya, selepas penubuhan Malaysia, Mustapha adalah individu yang berusaha keras menubuhkan USIA. Ia menggabungkan persatuan-persatuan Islam yang wujud di Borneo Utara menjadi sebuah persatuan yang besar dan kuat.

Langkah pertama Mustapha ke arah merealisasikan penubuhan USIA ialah mengundang tiga persatuan Islam utama iaitu Persatuan Islam Tawau, Persatuan Islam Putatan dan Persatuan Islam Sabah menghadiri Kongres Masyarakat Islam pada 14 Ogos 1969 di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu.

Jelasnya, kongres tersebut kemudiannya berjaya mewujudkan United Sabah Islamic Association (USIA) yang kemudiannya didaftarkan pada 10 Oktober 1969.

Abdullah memberitahu, sejurus selepas penubuhan USIA, Mustapha yang telah dilantik sebagai Yang Dipertua USIA telah menjalankan pelbagai program dakwah Islam di seluruh negeri.

"Keberkesanan dakwah USIA di bawah kepimpinan Mustapha telah berjaya menarik lebih 70,000 orang penduduk Sabah memeluk Islam.

"Sekali gus membawa kepada pengiktirafan Islam sebagai agama rasmi di Sabah, tanpa menghalang kebebasan penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing," kata Abdullah.

Beliau berkata, pembelian bangunan gereja SDA di Kota Kinabalu merupakan satu lagu usaha berani Mustapha dalam memartabatkan Islam di negeri ini.

Tambahnya, sejak diambil alih USIA, bangunan bekas gereja SDA itu kini menjadi pusat pelbagai aktiviti Islam, khususnya bagi kemudahan warga kota yang beragama Islam untuk menunaikan solat.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

'SUDAHKAH ANDA SOLAT '

Kepentingan Menjaga Solat Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”

Riwayat at-Tirmidzi