Klik player di bawah untuk mendengar siaran CAHAYAFM

Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Rabu, 28 Oktober 2009

Rumah bayi al-Quran mahu dibakar

GAMBAR fail menunjukkan seorang ulama

mendukung Ali di rumahnya di Kizlyar, Dagestan pada 19 Oktober lalu.


ANTARA ayat al-Quran yang terdapat pada kulit Ali.
( Sumber; KOSMO )



MOSCOW - Sekumpulan penduduk Islam mengancam mahu membakar rumah ibu bapa bayi yang kulitnya tertera ayat al-Quran, Ali Yakubov di Kizlyar, Dagestan, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Bayi itu yang berumur sembilan bulan dilahirkan oleh ibunya, Madina manakala bapanya bertugas sebagai seorang pegawai polis.

"Mereka (sekumpulan penduduk Islam itu) mendakwa tidak munasabah Allah menunjukkan tanda-tanda kebesarannya melalui seorang budak lelaki yang dilahirkan oleh keluarga pegawai polis," kata datuk bayi itu, Magomed-Kadyr.

"Mereka menganggap kami (pegawai polis yang bekerja untuk pemerintah Rusia) sebagai orang kafir," tambahnya.

Menurutnya, sebuah kereta membawa kumpulan bersenjata itu tiba di rumah mereka pada waktu siang.



Anggota-anggotanya kemudian menuntut mereka menunjukkan bayi berkenaan sebelum beredar tetapi mereka mengancam untuk datang lagi.

Selepas insiden itu, seorang penguasa tempatan menyediakan enam pengawal keselamatan untuk mengawal keluarga berkenaan.

Ibu bayi itu menyatakan bahawa ayat suci al-Quran itu hilang pada kulit Ali apabila kumpulan bersenjata itu tiba tetapi muncul semula selepas mereka beredar.

Dagestan yang terletak di selatan Rusia dan bersempadan dengan Chechnya bergolak akibat pertempuran berterusan di antara kumpulan-kumpulan Islam dan pihak berkuasa Rusia selama beberapa tahun selepas Moscow didakwa menindas penduduk Islam di wilayah itu. - Agensi


Pesta Menjana Ekonomi



Datuk Masidi Manjun
Menteri Pelancongan dan Alam sekitar Negeri Sabah.



Deejay RTM bersama kru Utara fm.


Ditemubual sebagai blogger dan Wartawan SAM oleh pegawai Penerangan Daerah Ranau.


Sebelah kiri Datuk Masidi Manjun; Tan Sri Datuk Gani Gilong, orang yang bertangungjawab membawa benih durian ke Ranau. Beliau juga seorang peladang yang berjaya menaikkan daerah Ranau sebagai pengeluar durian terbaik di negeri sabah



Pegawai Daerah Ranau
Haji Paimin


Mari kita renung kata-kata Datuk Masidi Manjun ketika merasmikan Pesta Durian & Kubis peringkat Sabah baru-baru ini di Ranau, yang antaranya mengajak masyarakat setempat untuk sama-sama mengembalikan suasana urus niaga di Ranau sebagaimana yang telah berlaku ketika zaman lombong Mamut . Ketika itu katanya, urus niaga setiap bulan berlaku di Ranau sebanyak 1 juta . Pesta Durian, walaupun hanya 2 hari, urus niaganya melebih 50 ribu dan majoriti masyarakat setempat terutamanya para penanam durian telah mendapat impaknya.

Kebijaksanaan pemimpin dan kerjasama yang mantap daripada pelbagai pihak telah membantu Pesta Durian dan Kubis mendapat sambutan luar biasa. Selain itu, liputan media juga antara yang membantu kejayaan pesta ini. Selain wartawan akhbar arus perdana, pihak penganjur turut mengiktiraf media online Utara fm sebagai penyiar langsung semasa pesta ini. Suara Anak Marudu ( SAM ) juga turut mengadakan liputan dan disambut baik pihak penganjur . Jutaan terima kepada pihak penganjur kerana memberi laluan kepada Utara fm juga para blogger membuat liputan.

Kita maklum bahawa, Kota Marudu pada bulan November ini juga akan mengadakan Pesta Jagung. Begitu juga daerah-daerah lain di Sabah , bakal mengadakan pesta masing-masing sesuai dengan hasil produk utama daerah. Kita berharap, sambutan luar biasa daripada pelbagai pihak akan turut mewarnai kemeriahan pesta ini nanti. Namun, sejauh mana pesta yang bakal diadakan di daerah-daerah ini terutamanya Kota Marudu bakal menguntungkan para petani dan masyarakat setempat?

Senin, 26 Oktober 2009

SMS Di pesta Kubis









FIRMAN Allah Taala bermaksud: "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar". - Surah al-Bayyinah, ayat 5


Menerusi ayat di atas, Allah SWT memerintahkan supaya setiap orang mengikhlaskan hidupnya semata-mata kepada Allah Taala. Ia digambarkan melalui dua bentuk ibadat khusus iaitu solat sebagai hubungan antara manusia dengan Allah dan ibadat zakat yang menghubungkan antara manusia dengan manusia.


Ertinya segala aktiviti hidup seorang Muslim hendaklah ikhlas kerana Allah Taala. Dengan demikian, ikhlas dalam konteks sebagai seorang Muslim bermaksud ia mestilah mengharapkan keredaan Allah dan ganjaran pahala daripada-Nya. Justeru itu, segala kata-kata, amal perbuatan dan jihad perjuangannya tidak mengambil kira sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran mahupun kedudukan tinggi. Baginya, syarat amalan yang diterima Allah ialah niat yang ikhlas dan bertepatan dengan syariat dan sunah Nabi Muhammad SAW.

Dalam hal ini, ulama telah menggariskan tanda-tanda ikhlas itu kepada beberapa perkara sebagai berikut:

Pertama, takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh membawa kepada fitnah sama ada kepada dirinya mahupun agamanya, terutama sekiranya ia seorang yang berkebolehan. Kerana ia yakin bahawa Allah menerima sesuatu amalan itu berdasarkan batin, bukan lahirnya semata-mata.

Kedua, orang yang ikhlas sentiasa menganggap dirinya cuai terhadap Allah, lalai dalam melaksanakan ibadat, tidak dapat mengawal hati daripada dimasuki sifat bangga diri, sombong dan kagum dengan diri sendiri.

Ketiga, lebih suka melakukan amalan atau kerja secara sembunyi daripada diiklankan dan mencari populariti. Dalam konteks sebuah organisasi, ia lebih suka menjadi tunjang pokok walaupun tiada yang nampak kerana berada dalam perut bumi, namun ia adalah asas bagi pokok itu hidup, tegak dan kuat.

Keempat, baginya sama saja berkerja sebagai pemimpin atau pengikut, selagi kedua-duanya adalah berkhidmat untuk agama. Hatinya tidak dapat dipengaruhi perasaan cinta untuk muncul ke depan atau berada di barisan hadapan.

Kelima, tidak menghiraukan kepuasan hati manusia sekiranya ia membawa kepada kemurkaan Allah Taala.

Keenam, suka atau bencinya, memberi atau menolaknya, rela atau marahnya, semuanya kerana Allah Taala dan agamanya.

Ketujuh, ia tidak bersifat malas, lemah disebabkan perjalanan yang jauh, lambat dapat memetik hasil dan lambat mencapai kejayaan.


Kelapan, gembira dengan kemunculan orang yang berkelayakan dalam barisan perjuangan bersamanya.

Dalam al-Quran, Allah SWT menegaskan bahawa syaitan sama sekali tidak mampu menguasai orang yang bersifat ikhlas, sebagaimana firman-Nya bermaksud: "Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang ikhlas di antara mereka". - Surah al-Hijr, ayat 39-40

Al-Fudhail bin Iyadh, seorang ulama terkenal ketika mendengar firman Allah yang bermaksud: "(Allah) Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun". - Surah al-Mulk, ayat 2, lalu berkata: Sebaik-baik amal itu ialah yang paling ikhlas dan yang paling betul.

Kemudian ia ditanya: "Bagaimana yang paling ikhlas dan betul itu ? Jawabnya: sesuatu amal itu sekiranya ia ikhlas tetapi tidak betul, maka ia tidak diterima, dan sekiranya ia betul tetapi tidak ikhlas juga, maka ia tidak diterima. Jadi, ia hendaklah memiliki kedua-dua sekali iaitu ikhlas dan betul.

Ikhlas hanya semata-mata kerana Allah dan betul pula mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Kemudian beliau membaca firman Allah Taala bermaksud: "Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal salih dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya". - Surah al-Kahf, ayat 110.

"Kesabaran adalah tunjang kekuatan dan kebahagiaan di dunia mahupun akhirat...."

sumber; http://www.rawatansihir.com/

Senin, 19 Oktober 2009

Kata-kata Imam Syafie




Kata-kata Imam Syafie tentang ilmu

* Sesiapa menuntut ilmu, maka hendaklah ia mendalaminya, tanpanya kehalusan ilmu akan hilang.

* Perhiasan ulama’ ialah petunjuk (At Taufik) manakala pakainnya pula ialah baik akhlaknya sementara kecantikan mereka ialah jiwa mulia.

* Sesiapa hendak kepada dunia, maka hendaklah ia mencari ilmu dan sesiapa berkehendak kepada akhirat juga hendaklah ia mencari ilmu.

* Tuntutlah ilmu sebelum kamu menjadi ketua, apabila kamu menjadi ketua maka tidak ada jalan lagi untuk belajar.

Nasihat Imam Syafie

* Orang yang membenarkan Allah S.W.T, nescaya terlepas dari bahaya.

* Orang yang sayang kepada agama-Nya, nescaya dari kehinaan.

* Orang yang zuhud pada dunia, nescaya tetaplah dua matanya memandang pahala daripada Allah Taala pada hari esok.

Orang yang ada padanya 3 perkara

* Orang yang menegakkan amar maa’ruf terhadap orang lain dan terhadap dirinya.

* Orang yang menjalankan nahi mungkar terhadap orang lain dan terhadap dirinya.

* Orang yang menjaga batas-batas yang ditentukan oleh Allah Taala.



Sabtu, 17 Oktober 2009

NGO Bakal Menyokong UMNO


Dalam ucapan Datuk Seri Najib petang tadi, beliau menyentuh tentang tanggungjawab ahli UMNO untuk bekerja bersungguh-sungguh sekali gus memastikan badan-badan NGO yang ada bakal menyokong UMNO. Ucapan ini menunjukkan bahawa badan-badan NGO selama ini kurang atau tidak memberi sokongan sepenuhnya kepada UMNO, sekali gus tidak menyokong kerajaan. Jika ini yang dimaksudkan, bermakna ada sebablah mengapa badan NGO tidak menyokong UMNO dan kerajaan. Keterlibatan secara langsung selama hampir 25 tahun dengan NGO membawa saya mengamati sebab musababnya seperti berikut:

1. Pemimpin UMNO setempat kurang mendekati malah ada yang langsung tidak mendekati sekali gus menyokong dan membantu usaha NGO.
2. Pemimpin UMNO atau kerajaan kurang atau tidak memberi penghargaan kepada badan-badan NGO .
3. Pemimpin UMNO atau kerajaan menyekat pergerakan NGO tanpa mendalami tujuan dan usaha yang dilakukan.
4. Pemimpin kerajaan tidak mengiktiraf kewujudan NGO.
5. Pemimpin menutup pintu dialog sekali gus membuat tembok atau jurang pemisah dengan NGO.

Inilah antara sebab mengapa NGO tidak atau kurang menyokong UMNO dan kerajaan. Justeru, sudah sampai masanya pihak pemimpin kerajaan dan pemimpin-pemimpin UMNO mengubah sikap. Pemimpin-pemimpin ini sepatutnya menjadikan NGO sebagai:-

1. Rakan bertukar pendapat@ fikiran
2. Rakan seperjuangan
3. Rakan karib
4. Rakan penyampai maklumat
5. Rakan pembaca isu-isu semasa
6. Rakan sepasukan

Gesaan untuk para pemimpin mengubah sikap memang wajar dan harus segera dilakukan jika benar-benar mendahulukan rakyat dan mengutamakan prestasi kerja cemerlang. 5 sebab di atas amat sedikit untuk diberi perhatian berbanding masih banyak sebab-sebab lain yang masih boleh diperhalusi oleh pemimpin-pemimpin yang benar-benar mahu memimpin.

Sabtu, 10 Oktober 2009

Masih Ingatkah ?



10.10.2009, hari ini, pertemuan kali pertama antara staff-staff SAM bakal berlangsung. Sedar atau tidak, SAM telah mula berlari laju selepas perlahan-lahan merangkak dan berjalan sejurus selepas lahirnya. SAM kini mendapat tempat di kalangan pembaca khasnya anak-anak jati Kota Marudu yang prihatin terhadap pembangunan tanah tumpah darah mereka.SAM semakin berkembang dengan adanya kerjasama bersama utarafm yang dulu dikenali sebagai Ponetfm.

Melihat paparan utama KUBNET “ Mengimbau Kenangan Ponetfm & SAM”, membawa saya mengingat kembali sejarah penggabungan SAM dan Utarafm. Masih terngiang-ngiang di telinga saya akan suara DJ Rumputt ketika pertama kali mendengar radio online Ponetfm semasa berada di Ranau. Kemantapan suara DJ Rumput ‘menDJ’ membawa minda saya melihat lorong-lorong dan jalan-jalan yang cerah untuk Ponetfm asal saja radio online ini bersedia mengambilkira beberapa perkara .

Selepas 4 hari berhubung secara maya, saya bertolak dari Ranau ke Kota Marudu seterusnya ke Pitas semata-mata dengan niat membina satu hubungan bersepadu untuk kebaikan negeri Sabah. Pada awalnya, saya tidak memberitahu mana-mana rakan SAM berkaitan perkara ini atas sebab kunjungan saya ke Pitas bersifat SMS ( Suara Mualaf Sabah ) namun, kerana saya juga terlibat langsung dengan SAM maka saya telah menghubungi Sanguru agar sama-sama menghadiri pertemuan yang telah saya rancang lebih awal.

Inilah antara sejarah awal hubungan SAM dengan Ponet.fm yang kini dikenali sebagai Utara.fm. Hari demi hari kedua-duanya semakin membesar. Lalu, kita harus merenung dan mengimbau kembali titik mulanya hubungan ini agar kita tidak lupa menghargai setiap hubungan yang telah terbina. Hubungan ini amat besar makna dan kesannya untuk kedua-dua pihak. Justeru, setiap kita perlu sentiasa mengelak daripada mencalar dan sewajarnya menjaga hubungan ini agar hikmahnya bakal dirasai oleh semua. Jangan kita cemari hubungan ini dengan sifat-sifat mazmumah kerana ia bakal memusnahkan suatu hubungan. Hubungan ini perlu terus disemai dan dibajai dengan kasih sayang. Semoga SAM dan Utara.fm terus melakar sejarah untuk agama, bangsa dan Negara!


Kamis, 08 Oktober 2009

SMS Bersama DBP


Bersama DJ PP di Malam Puisi Bambu, bertempat di Dewan Masyarakat Ranau.


DJ PP merupakan mantan DJ RTM Pulau Pinang yang banyak memberi tunjuk ajar kepada SMS bagaimana menjadi DJ radio.


UtaraFm merupakan sebuah radio online Sabahan yang telah diusahakan anak jati kelahiran Pitas menjadi satu saluran infomarsi kepada penduduk-penduduk khasnya di sekitar utara Sabah. InsyaAllah, sedikit masa lagi SMS akan akan mengendalikan segmen nasyid sebagai memenuhi kehendak pendengar. Selain itu, SMS juga akan mengendalikan segmen Bersama Ustaz .


Pengarah DBP Cawangan Sabah, En. Zubaidi Abas
sedang ditemubual oleh DJ PP dibantu oleh DJ Siputt. Gambar ini diambil beberapa jam sebelum Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah bertempat di dewan Masyarakat Daerah Ranau, Sabah.
Meskipun UtaraFm serba kekurangan, namun setakat ini, ia boleh dianggap berjaya kerana telah mengadakan siaran langsung bersama DBP pada 7 Okt 2009



Para deklamator dan artis; Felix Agus dan Rablin turut menceriakan Malam Puisi Bambu


YB. Datuk Masidi Manjun
Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah
melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Sabah
( Wakil Ketua Menteri Sabah )

Sabtu, 03 Oktober 2009

SMS bersama DBP

Mesyuarat jam 9.30 pagi hari ini, 02 Okt 2009 ( Jumaat ) telah berlangsung di Pejabat Daerah Ranau, Sabah. Sebagai penggiat sastera, saya telah dijemput oleh DBP untuk mengambil peranan kecil dalam program ini. SMS telah mencadangkan beberapa perkara. Insyaallah UTARA FM akan bersiaran langsung pada 7hb Okt 2009 bermula jam 9.30 pagi sampai malam ( Bergantung keadaan talian pada masa itu )


Hajjah Asmiah, DBP Kota Kinabalu.


En. Nadin Hj.Salleh dan En. Jaffar Ungki mewakili Pengarah DBP Sabah turut bersama dalam mesyuarat pagi tadi.




Ketua-ketua jabatan dan wakil-wakil jabatan sekitar daerah Ranau turut terlibat.




bertempat di Dewan Masyarakat Daerah Ranau, Sabah akan dilancarkan oleh Y
Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2009, Peringkat Negeri Sabah pada 7hb Okt 2009. Datuk Masidi Manjun , Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah mewakili Ketua Menteri Sabah. Antara pengisian malam tersebut termasuklah Deklamasi Puisi, Lafaz Ikrar dan Malam Puisi Bambu. Orang ramai dijemput datang untuk memeriahkan program tersebut. Turut sama dalam program itu nanti ialah YB. Datuk Sukarti Bin Wakiman, Setiausaha Kerajaan negeri Sabah, merangkap Pengurus Jawatankuasa Penyelenggaraan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Peringkat Negeri Sabah.

Membela Kebenaran Adalah Tanggungjawab Perjuangan

Dr. Asri

Apabila seseorang berbicara tentang kebenaran, atau mempertahankan kebenaran maka dia hendaklah sedar bahawa dia lakukan tanggungjawab itu atas perintah Allah dan rasulNya. Tidak kerana dia mengharapkan habuan daripada manusia, atau kemasyhuran, atau kemenangan.

Kebenaran adalah kebenaran, ia tiada kaitan dengan kehendak diri sendiri atau kehendak orang lain. Justeru, insan yang jujur akan membela dan memperjuangkan kebenaran dan prinsip yang benar sekalipun terpaksa bercanggahan dengan kehendak dirinya, ataupun kehendak orang lain. Sekalipun dia menanggung rugi, atau dia ditentang oleh dunia sekelilingnya. Bak kata kata Rasulullah s.a.w:

“Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Albani).

Dunia ini rosak jika manusia hanya membela kebenaran apabila dirasakan menguntungkan diri. Apabila kebenaran itu berpihak untuk dirinya atau puaknya, maka dengan lantangnya dia akan bangun menuntut kebenaran dan membelanya. Apabila kebenaran itu tidak berpihak kepada dirinya dan puaknya, maka dia akan sembunyikannya, atau mendiamkan. Bahkan lebih buruk ada memutar-mutarkan fakta dan dalil sehingga meminggirkan kebenaran apabila kebenaran itu kelihatan tidak menguntungkannya.

Golongan fanatik parti dan mazhab selalu melakukan perkara yang seperti ini. Dunia juga rosak apabila kebenaran itu dilacurkan untuk mendapatkan habuan atau keuntungan. Saya sendiri bertemu dengan ramai orang yang mempunyai kepentingan perniagaan yang meminta saya menggunakan nama dan pengaruh saya dalam bidang agama bagi melariskan bisnes mereka. Kata mereka ramai ustaz lain yang buat dan mereka mendapat faedah kewangan yang banyak.

Saya jawab kepada mereka, saya memang tidak berharta tetapi saya belum bersedia untung melelong agama. Nas-nas Allah dan rasulNya tidak patut diputarkan hanya untuk bergelar ‘hartawan’ di dunia yang sementara. Keadaan yang seperti ini juga menjadikan ramai mereka yang ikhlas menggeruni ‘politik kepartian’. Walaupun politik itu sebahagian daripada ajaran Islam, namun ‘politik kepartian’ mempunyai keadaan yang sangat berbeza.

Penilaian kepada kebenaran dan fakta dalam dunia politik kepartian banyak terikat kepada kehendak parti. Maka ramai di kalangan mereka yang bertukar-tukar cakap dan prinsipnya. Kesemuanya akan dijawab; “ini keputusan parti”.

Ertinya, menjadi pejuang kebenaran kerana Allah dan rasulNya, bukanlah kerja yang mudah. Allah menguji insan untuk insan membukti keikhlasan dirinya dalam membela ajaran tuhannya. Sehingga nyata siapa yang benar tujuan dan siapa pula yang berdusta atas dakwaannya.

Banyak rintangan dan halangan. Sebabnya, kebenaran itu tidak semestinya menjanjikan kemenangan di dunia yang fana ini. Entah berapa ramai para nabi dan pejuang yang dibunuh dan dibuang, hanya kerana kebenaran.

Jika Allah memberikan kemenangan kepada kebenaran pun, bukanlah semesti setiap pejuang itu berpeluang untuk menyaksikannya. Para Nabi ada yang dibunuh tanpa sempat melihat hasil kemenangan perjuangan. Para pejuang juga demikian. Betapa ramai para pembela dan pejuang kebenaran yang disiksa mati, dibunuh tanpa alasan, dibuang tanpa simpati, dipenjara tanpa dosa dan disisih tanpa sebab.

Kebenaran akhirnya akan menang, apabila syarat dipenuhi, namun masanya tidak ketahui. Para sahabah yang gugur syahid dengan penuh trajis di peringkat Mekah seperti Yasir dan Sumayyah tidak sempat melihat kejayaan umat Islam memerintah Madinah dan menewaskan para pemimpin Quraish yang bongkak yang menyiksa mereka.

Para sahabat yang gugur dalam peperangan mempertahankan Madinah seperti Hamzah bin Abd al-Muttalib dan selainnya tidak sempat melihat kejayaan Nabi s.a.w dan umat Islam membuka Kota Mekah. Bahkan Nabi s.a.w pada hayat baginda, umat Islam belum lagi menguasai Empayar Rom dan Parsi.

Ramai pejuang terkorban ketika perit menggalas amanah perjuangan. Ramai yang pergi menemui Allah sebelum mata sempat melihat pejuangan kebenaran menjatuhkan pejuangan kebatilan. Namun para pejuang yang ikhlas itu redha kerana mereka tahu itulah harga kebenaran.

Mereka tidak berjuang untuk menang dalam bahasa yang biasa. Mereka berjuang kerana titah perintah Allah dan itulah kemenangan hakiki. Kemenangan dunia hanyalah anugerah dan hadiah daripada Allah yang akan digunakan demi kepentingan menegakkan kebenaran.

Jika kemenangan dunia tidak disaksikan di hadapan mata, bukanlah bererti perjuangan kebenaran mesti ditinggalkan. Bayaran bagi pejuangan yang tulus itu adalah keredhaan Allah sekalipun tewas dan ditindas. Allah membeli perjuangan yang benar itu dengan syurga, bukan harta dunia.

Firman Allah: (maksudnya)

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian adalah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah dalam Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar”. (Surah al-Taubah, ayat 111).

Sesiapa yang ingin berjuang menegakkan kebenaran, menyebarkan Islam yang tulen tanpa mengenal batasan kepentingan diri, puak, parti dan manusia keseluruhan perlulah nekad menggalas bebenan tersebut dengan penuh jujur. Ia adalah amanah. Membela dan menyokong kebenaran adalah tanggungjawab yang dipersoalkan Allah pada hari Kiamat kelak.

Namun ramai orang yang tersasar kerana merasakan tujuan mereka menyokong dan menyebarkan kebenaran adalah untuk mengecapi nikmat keuntungan dunia hasil dari kemenangan atau habuan yang bakal diperolehi. Maka bukan sedikit mereka yang bergelar pejuang Islam atau organisasi Islam yang telah mengubah halatuju dan prinsip apabila dirasakan buah yang hendak dipetik belum mahu masak.

Mengubah prinsip kebenaran kerana mengharapkan sokongan pihak lain amatlah buruk. Allah mengingatkan Nabi Muhammad s.a.w ketika menghadapi cabaran yang berbagai daripada para pembesar Quraish dengan firmanNya:

(maksudnya) “Dan sesungguhnya hampir mereka dapat memesongkanmu (Wahai Muhammad) dari apa yang Kami telah wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan atas nama Kami perkara yang lainnya; dan (kalau engkau melakukan yang demikian) tentu mereka menjadikan engkau sahabat karibnya. Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sedikit cenderung kepada kehendak mereka. Jika (engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh seorang penolong pun terhadap hukuman kami”. (Surah al-Isra, ayat 73-75).

Atas hubungan jiwa dengan teguh dengan wahyu, seorang pejuang kebenaran yang membawa arahan Islam akan terus memapah risalah kebenaran itu di kala senang atau susah, di saat di julang atau dibuang, samada dikeji atau dipuji, samada dipuja atau dihina, samada ketika di atas atau ketika ditindas. Kalah atau menang adat perjuangan, namun kebenaran adalah kebenaran.

Allah memuji mereka yang ikhlas seperti ini dan tetap pendirian. Firman Allah: (maksudnya)

“Antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun” (Surah al-Ahzab ayat 23).

Maka, Islam adalah agama perjuangan. Kita menjadi lemah pada hari ini disebabkan hilangnya semangat dan nilai perjuangan dalam beragama. Seseorang muslim itu kelihatan hilang atau tiada langsung sifat kecemburuan atau semangat dalam mempertahan dan membela kebenaran.

Sesetengah pihak itu seakan menjadikan Islam sekadar untuk dikatakan dia mempunyai agama, atau membolehkan dia berinteraksi dengan masyarakat. Tidak pernah diambil pusing tentang apakah dasar dan prinsip Islam. Apatah lagi untuk membela dan mempertahankannya.

Ada pula kelompok yang dipengaruhi oleh pemikiran ‘kesufian’ yang melepasi batasan yang patut sehingga Islam mereka dimandulkan. Apa tidaknya, mereka menganggap cukuplah Islam itu hanya berzikir atau beribadat sendirian. Mereka tidak memperdulikan apa yang berlaku kepada umat Islam dan nasib kepada kebenaran yang ditindas. Bahkan banyak ajaran kerohanian kesufian itu sendiri menyeleweng dari hakikat kebenaran.

Mereka ini hidup dalam kelompok zikir dan ‘cerita-cerita sakti’ mereka mengenai wali itu dan ini. Dihiasi agama mereka dengan hadis-hadis palsu yang memperuntukkan syurga dengan begitu murah. Amalan yang kecil diberikan pahala terlalu besar sehingga menafikan sifat Islam.

Ini seperti hadis-hadis palsu yang menyamakan amalan yang kecil dengan pahala para nabi, atau para syuhada. Inilah yang termuat dalam banyak buku-buku fadilat yang tidak berpegang kepada disiplin ilmu hadis.

Malangnya, buku-buku fadilat seperti ini menjadi kegemaran orang awam. Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah ( meninggal 643H) menyebut:

“Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah”. ( Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadith, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu`asir)

Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah pula ketika memperkatakan mengenai sebab-sebab kemunculan hadis palsu:

“ (sebab yang ke enam) bertujuan untuk menggalak orang ramai membuat kebaikan. Antara yang melakukan perbuatan ini ialah golongan jahil ahli zuhud dan tasawwuf. Mereka membenarkan untuk diri mereka pendustaan ke atas Nabi di dalam tarhib (ancaman dosa) dan targhib (galakan ibadah). Mereka menyangka kesesatan itu suatu kebaikan, mereka adalah manusia yang paling bahaya” ( Abu Syahbah, Al-Wasit fi `Ulum Mustalah al-Hadith, m.s.332, Kaherah: Dar al-Fikr al-`Arabi)

Sehingga tenggelam mereka yang terpengaruh dengan unsur kerohanian seperti ini, lantas membelakang nas-nas Islam yang meletakkan tanggungjawab yang besar ke atas setiap muslim untuk membela agama Allah. Firman Allah: (maksudnya)

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (dalam perjuangan)? (surah Ali ‘Imran ayat 142).

FirmanNya juga:

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kesusahan dan kemudaratan, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir. (Surah al-Baqarah, ayat 214).

Barangkali ramai di kalangan umat Islam yang dimabukkan dengan anggapan bahawa beragama itu memadailah dengan mengamalkan beberapa amalan dan kemudian biarlah dunia ini apa pun akan berlaku. Tiada pembelaan untuk Islam, tiada pembelaan untuk kebenaran.

Lebih buruk lagi, sesetengah aliran kerohanian pula menjadi menjelma bagaikan ajaran kerahiban. Agamawan itu bagai pendeta yang bertapa tanpa mengambil berat tentang masyarakatnya. Inilah yang menyebabkan Dr Yusuf al-Qaradawi mengkritik ajaran tasawwuf yang menyimpang dari sifat asal Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Kata al-Qaradawi:

“Para pengkaji tidak boleh membantah bahawa tasawwuf telah terpengaruh –pada tahap tertentu- unsur-unsur asing, samada anasir Kristian, Hindu, Parsi atau Yunan, juga unsur-unsur Islam. Dalam tempoh masa sekian lama, telah masuk ke dalam tasawwuf pemikiran yang pelik daripada sumber-sumber yang disebutkan tadi atau selainnya. Sehinggakan sebahagian tasawwuf sampai ke peringkat percaya kepada al-hulul, atau al-ittihad , atau wahdah al-wujud. Sebahagian mereka pula bercakap mengenai qidam nur Muhammad atau yang mereka namakan al-hakikat al-Muhammadiyyah (hakikat Muhammad). Juga mereka bercakap mengenai kewalian, para wali, kasyaf, mawajid , zauq dan berhukum dengan perkara-perkara tersebut dalam nas-nas agama. Mereka memisahkan hakikat dan syariat, berpegang bahawa dalam mendidik murid tasawwuf hendaklah dia di hadapan gurunya bagaikan mayat di hadapan orang yang memandikannya. Mereka melampaui batas dalam zuhud dan apa yang berkaitan dengannya sehingga ke peringkat terkeluar dari kesederhanaan Islam kepada kerahiban Kristian”.( Dr. Yusuf al-Qaradawi, Thaqafah al-Da`iyah, m.s. 94-95, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Pemikiran yang seperti ini telah menghalang sifat perjuangan dan membela kebenaran yang hakiki.