Klik player di bawah untuk mendengar siaran CAHAYAFM

Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Selasa, 27 September 2011

Jawaban SMS


Datuk Masidi Manjun


Datuk Sairin Karno


Juhari Janan
JUHARI JANAN
Salam sdra, apa kah setiap Persatuan perlu di Lantik Senator? Tdk ka kita boleh berdakwah tanpa jawatan dlm Kerajaan. mau disebut YB Senator atau kita berdakwah kerana Allah semata mata. kalau melihat org Dusun dalam Kerajaan BN YB Dtk Masidi Manjun Menteri Berbangsa Dusun Islam.Dtk Hj Sairin Karno Pembantu Menteri Berbangsa Dusun Islam Dan mereka ini juga boleh bersuara dgn masalah yg dihadapi oleh mualaf. Renung renung kan

......selamat beramal....

ULASAN SMS


Alhamdulillah, setakat hari ini dalam pengetahuan SMS baru Sdr. Juhari Janan ( JJ ) yang memberi respon tentang hal ini. Saya ucapkan terima kasih pada saudara.

SMS ingin bertanya pada JJ berkaitan senator-senator sedia ada, apakah mereka mewakili persatuan ? Jawabnya tentu tidak,dan itulah yang SMS tahu sepertilah EZAM MOHD NOR. Kalau SMS ditanya secara peribadi berkaitan perlukah setiap persatuan dilantik senator , maka jawaban SMS tidak perlu. Kecualilah persatuan yang ada benar-benar kelihatan bekerja dan berfungsi. Kalau hanya sekadar namanya persatuan, maka lebih baik dilantik mereka yang di luar persatuan. SMS bukanlah persatuan. Tidak juga terlibat dengan mana-mana persatuan mualaf tapi SMS berdamping para mualaf hampir 25th dan bekerja untuk mereka. Barangkali ada yang bertanya kenapa SMS tidak ikut saja persatuan yang ada? SMS sebelum ini pernah dipelawa sebuah yayasan yang meniti atas nama mualaf. Malangnya, pihak peneraju yayasan menjadikan pentas mualaf sebagai kepentingan politiknya sedangkan dia tidak bekerja ke arah membela nasib para mualaf.

Berdakwah kerana Allah itu benar. Tapi, benarkah kalian melihat kemunculan para mualaf ke dunia Islam ini sungguh-sungguh kalian lihat kerana Allah ? Ikhlaskah kita membiarkan mereka hanya dengan memberi wang zakat ketika menjelang Ramadhan sedangkan terus-terusan saja hidup mereka dihimpit? Jikalau dua individu yang JJ sebutkan itu mewakili suara para mualaf, sudah berapa kali mereka menyuarakan hal mualaf di peringkat negeri dan negara sejak mereka menjadi wakil rakyat? Walaupun mereka lahir dalam suku bangsa Dusun namun mereka lahir dalam Islam dan tidak melalui kehidupan seorang mualaf. Lagipula, posisi mereka bukan hanya wakil rakyat untuk memperjuangkan mualaf saja. Senator yang SMS maksudkan itu adalah senator yang benar-benar dilantik mewakili para mualaf dan hanya akan bercakap tentang hak-hak dan kebajikan para mualaf.

Renungan;
Sepatutnya bukan hanya Masidi dan Sairin saja yang menyuarakan perihal mualaf tetapi keseluruhan umat Islam patut bersuara dan membela mereka. Benarkah kita telah berdamping dan mendekati mereka ? Kalau benar, kenapa pemurtadan di kalangan kelompok ini masih berlaku ? Renung2kanlah.

Senin, 26 September 2011

Menanti Jawaban



Kepada,
Perdana Menteri Malaysia,
Ketua Menteri Sabah,
Wakil Rakyat Beragama Islam,
Persatuan-persatuan Mualaf,
Pemikir Islam,
Individu Islam.

Assalamualaikum.

Dengan ringkasnya, di mana juga kalian berada ketika ini Suara Mualaf Sabah sekali lagi ingin menarik perhatian kalian, agar memikir dan mendalami gagasan dan permintaan kami kaum mualaf. Termasuk kenyataan ini, sudah kali ke-empat permintaan serupa ini kami lontarkan. Pun, sehingga kini, kami belum menerima sebarang reaksi berbentuk ulasan atau maklumbalas dari pihak kalian, apa lagi memanggil pihak kami untuk membincangkan kewajaran permintaan kami agar pihak kalian  melantik seorang senator dari kalangan para mualaf.

Kami berasa dengan kekerdilan dan ketiadaan kuasa politik pada kami, maka dengan cara maya sebegini sajalah kami bisa menyuarakan perkara ini, apalagi pintu-pintu pihak kalian terlalu gah dan jauh untuk kami kunjungi. Pun juga, jikalau kalian berada di sekitar kami, kami tiadalah bertempat dan menerima kerusi dan meja istimewa tanda keberadaan kami di sisi kalian. Meski  ada waktu sebahagian golongan kami berada di meja-meja bersama kalian tetapi itu adalah protokol atas sebab mereka menjawat jawatan awam. Seringkali bahkan biasa, kalian tidakpun mengambil perhatian kewujudan mereka.

Suara Mualaf Sabah mohon agar kalian memberi jawaban jujur atas permintaan ini. Permohonan ini bukan hanya sekadar kewajaran bahkan keperluan agar keterabaian yang berlaku pada golongan kami dapat dikhabarkan secara tepat, agar hak-hak kami tidak diperkecil-kecil dan diperlambat-lambatkan.  Agar juga agenda-agenda berkaitan pendidikan, ekonomi, politik, pembangunan insan dan seumpamanya terhadap golongan kami diperbincang sebagaimana adanya kami.

Kewujudan kami jika diperhalusi dan dibincangkan, dijadikan agenda negara dan negeri tidak akan merugikan sesiapa bahkan secara totalnya bakal menguntungkan dunia Islam. Apa kalian tidak melihat potensi ini? Kalian bukan saja berbakti di dunia bahkan sahamnya pasti dihitung Allah hingga ke akhirat. Kami melihat jelas perkara ini. Silalah beri ruang pada kami dan kami bersedia memberitahu kebenaran maksud kami.

Akhir sekali, jika kalian berasa permintaan kami ini tidak wajar dan tidak penting, silalah respon perkara ini secara meluas; melalui siaran akhbar, TV, halaman sosial kalian atau apa cara sekalipun hebahannya agar golongan mualaf secara umum dapat menerima berita dan mengetahui jawapan kalian.

Jika golongan OKU, artis, orang asli serta individu-individu yang menyumbang fikiran juga yang berpengaruh dari sudut pengimbangan ( jalan ambil hati ) kalian lantik kerana kepentingan mereka, mengapa pihak kami tidak boleh meminta wakil dari kalangan kami?

Kepada pihak-pihak berkaitan yang terpanggil dan melihat permintaan kami ini tidak patut bahkan berlebih-lebihan hatta merugikan mana-mana pihak, silalah juga beri ulasan melalui saluran yang sama, agar kami tahu. Namun, jika pada pengamatan dan pemikiran kalian melihat ada kewajaran dan keperluan permintaan ini dibuat, maka kami juga mohon agar kalian memasukkan permintaan kami ini sebagai agenda perbincangan di peringkat kalian atau paling tidakpun masukkan perkara ini dalam fail timbul kalian.

Jika tidak dilihat sumbang, Suara Mualaf Sabah mengalu-alukan pertemuan empat mata kepada sesiapa saja yang berkait nama dan jawatannya di atas. Justeru, itulah jalan terbaik agar mudah bagi kami memperjelaskan kerasionalan tuntutan kami.  Kepada pengamal media massa, para wartawan, penulis-penulis blog, facebook, pensyarah politik khususnya, kami mohon agar kalian menyalin kenyataan ini jika mahu membantu kami ( Golongan Mualaf ) memperluaskan hebahan ini hingga ia sampai ke telinga PM.

Sekian. Terima Kasih
Suara Mualaf Sabah ( SMS )

Nota;
SMS bersedia berada di mana-mana pentas untuk menyatakan secara langsung perkara ini. Jika ada pihak-pihak berkaitan yang bermurah hati menganjurkan program perbincangan untuk hal ini, SMS sangat bersetuju. Silalah berhubung.


Selasa, 06 September 2011

Mari Berdakwah


Bila sebut dakwah, fikiran biasa akan terfokus kepada dakwah yang disampaikan oleh mereka yang bergelar ustaz, ustazah, para alim dengan terampilan berserban, berkopiah,  berjanggut dan bertasbih. Kemudian, terbayang wajah  bertompok  hitam dahinya, hafaz Quran dan hadis dan tempat tinggalnya di rumah buruk nan tiada punya apa-apa, jauh sekali memiliki  kereta.

Namun,  kefahaman ini perlu diluruskan agar konsep dakwah lebih luas sehingga siapapun kita, kita masih dilihat sebagai pendakwah, sesuai dengan maksud kejadian manusia yang dicipta Allah sebagai khalifah di muka bumi. Maka, orang yang tidak berlatarkan pendidikan agama dan tiada tampilan kebiasaan yang kita persepsikan sebagai pendakwah asal saja menyeru dan membawa manusia kepada kebaikan juga  sebenarnya adalah pendakwah.  Justeru, setiap kita tidak punya  alasan untuk cuba lari dari menjadi  daie atau pendakwah.

Persoalannya, bagaimana supaya kita yang tidak termasuk dalam persepsi umum seorang pendakwah turut sama bertanggungjawab menjadi daie sedang keberadaan kita hanyalah  sebagai seorang petani atau peladang atau penternak? Bahkan sebenarnya ia lebih mudah berbanding kedudukan seorang ahli agama yang kadangkala  terpaksa mencari sumber rujukan ketika memperkatakan perkara yang hendak diceramahkan. Jika anda Sang Petani, bukankah mudah membuat kebaikan ketika  anda menyempurnakan tanggungjawab anda menjadi penyampai suatu program keagamaan yang anda ketahui bakal berlangsung di tempat anda lalu mengajak sanak saudara dan keluarga anda ke program itu?

Bantutan  dakwah boleh saja berlaku dalam suasana dan keadaan pelbagai . Seorang imam yang  tidak mempunyai kenderaan misalnya akan menjadikan gelanggang dan ruang dakwahnya terhad. Jika  disokong dengan kemudahan,  pasti bakal melebar gelanggang dakwahnya. Setiap kita seharusnya memikirkan perkara ini . Mengapa ia terjadi?

Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung lebih mahal elaunnya daripada seorang imam.  Bahkan, berlaku di beberapa buah kampung yang Pengerusi JKKKnya  bukan saja berpendapatan tetap kerana bekerja di sektor awam atau swasta  tetapi,  dia turut mendapat elaun tambahan kerana menjadi  pengerusi jawatankuasa keselamatan kampung.  Pengerusi JKKK lantikan dan berjawatan seperti ini termasuk masyarakat setempat seharusnya lebih peka  dan memberi ruang serta sokongan kepada  imam kampung menjadi pengerusi JKKK. Pendapatannya bakal bertambah dan ini membolehkan dia membeli motor untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Inilah antara strategi yang perlu dibuat dalam memastikan operasi dakwah satu-satu tempat berjalan lancar.









Sabtu, 03 September 2011

Jumat, 02 September 2011

JOMIDIN




Satu ketika dulu, dia digelar ‘sinting’ atau ‘50 – 50’. Berbanding orang lain di kampung Salimandut, juga di kalangan mereka yang mengenalinya, hidup dia tidak punya apa-apa. Namun, dialah antara yang ringan tulang. Mintalah bantuan, apa saja akan ditunainya dan jarang menghampakan sesiapa. Sepanjang pengetahuan saya, dia sering dihambur kata-kata tidak bermoral; sindiran atas keadaan hidupnya. Inilah nasib Sang Miskin di mana-mana. Kita lupa, di sisi Allah , bintang termahal adalah iman dan taqwa. Gema takbir di surau Salimandut tahun ini bukan saja menghimpunkan ramai sanak saudara dan sahabat handai bersama-sama menunaikan solat Aidilfitri, bahkan ada beberapa perkara yang membuatkan jiwa saya terdidik dan ia sukar saya gambarkan. Inilah doa-doa para daie yang terus sambung-menyambung. Subhanallah.


Namanya, JOMIDIN. Dia tidak punya isteri, tidak punya tanah, tidak punya akaun simpanan, tidak punya kereta dan segalanya. Hanya yang ada, tulang empat kerat dan usianya yang semakin reput. Diuji dengan sakit ampus, kemudian di hujung usia , akhirnya Allah membuka hatinya untuk bersaksi bahawa Tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu PersuruNya. Jika diikut logik, mana mungkin dia bertukar agama. Tapi, inilah hakikat. Dia bersama kami , bertakbir dan bertahmid meski dia hanya terkumat-kamit dengan mata terlopong sambil bersila di hujung para jamaah. 


Saya kesal kerana tidak dapat memberi sesuatu yang membuatkan dia tersenyum tika itu, kerana kealpaan. Pun, insya Allah, rumah bambunya akan saya kunjungi untuk menghantar apa saja yang ada. Rumahnya itu telah dibina oleh belia secara gotong-royong. Kini, dia mengalami beberapa perubahan berbanding sebelum ini. Beliau dan 10 orang yang lain telah memeluk Islam pada penghujung tahun 2010 lebih kurang 10 bulan yang lalu.